Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian IPS: Lebih 50% remaja S’pura selisih faham dengan ibu bapa tentang penggunaan telefon bimbit

Oct 21, 2025 | 4:49 PM
Kajian IPS, remaja S’pura, selisih faham dengan ibu bapa tentang penggunaan telefon bimbit 
Sekitar 56.8 peratus remaja yang ditinjau menyatakan mereka mempunyai lebih banyak perselisihan faham dengan ibu bapa mereka sejak menggunakan telefon bimbit bijak, menurut dapatan satu kajian Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 16 Oktober. - Foto ST

Penggunaan telefon bimbit bijak dalam kalangan remaja telah mencetuskan konflik yang kerap dalam keluarga, dengan separuh daripada mereka melaporkan kewujudan perselisihan faham dengan ibu bapa mereka.

Menurut dapatan satu kajian Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 16 Oktober, sekitar 56.8 peratus remaja yang ditinjau menyatakan mereka mempunyai lebih banyak perselisihan faham dengan ibu bapa mereka sejak menggunakan telefon bimbit bijak, manakala 50.1 peratus mempunyai pertikaian dengan ibu bapa mereka mengenai aplikasi yang digunakan.

Sekitar 47.9 peratus remaja juga pernah menyembunyikan penggunaan telefon bimbit bijak daripada ibu bapa mereka untuk mengelakkan konflik.

Ini merupakan antara dapatan kajian IPS itu yang telah menyelidik penggunaan masa skrin dan bagaimana ia menjejas kesejahteraan dan dinamik keluarga di Singapura.

Sekitar 1,033 ibu bapa rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) telah mengambil bahagian dalam kajian itu yang dijalankan dari September hingga Oktober 2024.

Daripada jumlah itu, 517 ibu bapa mempunyai anak remaja berusia 13 hingga 19 tahun yang turut mengambil bahagian dalam kajian tersebut, yang diterajui oleh zamil penyelidik utama dan Ketua Social Lab IPS, Dr Mathew Mathews.

Dapatan utama kajian itu menunjukkan golongan remaja meluangkan masa pada skrin sekitar 8 jam dan 21 minit secara purata setiap hari, sebahagian besarnya bagi pendidikan dan hiburan.

“Dapatan kajian ini menunjukkan sesuatu yang tidak mengejutkan, iaitu remaja mendapat telefon bimbit bijak pertama mereka lebih awal daripada ibu bapa mereka, pada sekitar usia 12 hingga 13 tahun, berbanding ibu bapa mereka yang memperolehinya pada usia pertengahan 20-an tahun.

“Konflik terhadap penggunaan telefon bimbit bijak adalah perkara biasa, terutamanya apabila ibu bapa mengenakan kawalan lebih ketat seperti mengambil alat tersebut daripada mereka.

“Peraturan yang hukumannya lebih ringan berfungsi dengan lebih baik, dan komunikasi keluarga yang kerap membantu mengurangkan konflik bagi banyak strategi,” menurut laporan kajian itu.

Dalam usaha mengehadkan masa penggunaan skrin anak remaja, ibu bapa menggunakan pelbagai strategi.

Ini seperti memberikan peringatan untuk tidak menggunakan skrin secara berlebihan (77.5 peratus); tidak membenarkan tatapan skrin semasa waktu makan (72.6 peratus); tidak membenarkan tatapan skrin sebelum tidur (58.2 peratus); dan mengambil alat elektronik mereka (47.4 peratus).

Sebilangan besar ibu bapa juga bersetuju mereka menjelaskan sebab di sebalik had masa penggunaan skrin yang mereka tetapkan (69.9 peratus); memahami keperluan anak bagi masa skrin (69.7 peratus); mendengar pandangan anak mereka tentang penggunaan skrin (65.7 peratus); dan mengadakan perbincangan keluarga mengenai penggunaan skrin yang sihat (64.4 peratus).

Meskipun strategi kawalan ibu bapa bagi penggunaan skrin cenderung mencetuskan konflik dengan anak, kajian itu mendapati perbincangan keluarga tentang penggunaan skrin yang sihat membantu mengurangkan perselisihan faham mengenai penggunaan telefon bimbit bijak.

“Mujur, analisis penyederhanaan lanjut yang dijalankan mendapati sekurang-kurangnya bagi beberapa strategi kawalan ibu bapa ini, komunikasi keluarga tentang penggunaan masa skrin yang sihat memperbaiki kesan strategi ini terhadap berlakunya konflik keluarga mengenai penggunaan telefon bimbit bijak,” jelas laporan kajian berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg