Topik diikuti
Pergi ke BHkuKajian IPS: Lebih 90% orang Melayu masih fasih berbahasa Melayu; penguasaan Inggeris, ‘Singlish’ meningkat
Kajian IPS: Lebih 90% orang Melayu masih fasih berbahasa Melayu; penguasaan Inggeris, ‘Singlish’ meningkat
Kajian IPS: Penguasaan Inggeris, ‘Singlish’ naik
Kajian IPS: Lebih 90% orang Melayu masih fasih berbahasa Melayu; penguasaan Inggeris, ‘Singlish’ meningkat
Orang Melayu di Singapura sebahagian besarnya masih fasih dalam bahasa ibunda.
Lebih sembilan daripada 10 responden Melayu atau 93.2 peratus melaporkan mereka boleh bertutur dalam bahasa tersebut dengan baik atau sangat baik.
Peratusan ini merupakan yang tertinggi berbanding responden kaum lain.
Lebih lapan daripada 10 responden berketurunan Cina fasih berbahasa Mandarin (80.9 peratus), sementara 68.8 peratus responden India melaporkan mereka boleh bertutur dalam bahasa Tamil dengan baik atau sangat baik.
Namun, apabila dikhususkan kepada responden berketurunan Tamil – mengambil kira kerencaman bahasa ibunda masyarakat India di sini – didapati lebih sembilan daripada 10 responden melaporkan tahap kefasihan sama.
Data ini berdasarkan kajian terkini oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dari April hingga Ogos 2024.
Kajian Identiti dan Pengurusan Bahasa di Singapura itu mengambil kira dapatan kajian IPS terkini mengenai Bangsa, Agama dan Bahasa, yang meninjau 4,000 penduduk Singapura pada 2024, untuk perbandingan dengan kajian terdahulunya pada 2013 dan 2018.
Kajian itu mentakrifkan kefasihan “baik” sebagai kemampuan berbual santai tentang keluarga, manakala “sangat baik” mencerminkan kewibawaan berbahasa dalam mengupas isu lebih kompleks seperti citra agama, politik dan arus teknologi.
Dapatan terkini itu turut mendedahkan, lebih sembilan daripada 10 responden Melayu, atau 91.7 peratus, tetap teguh mengutamakan bahasa ibunda mereka sebagai wahana utama komunikasi apabila berinteraksi bersama rakan-rakan.
Sekitar lapan daripada 10 responden Cina kerap menggunakan bahasa Mandarin bersama rakan-rakan (80.2 peratus); dan sekitar dua pertiga atau 64.4 peratus responden India kerap menggunakan bahasa Tamil dengan rakan-rakan mereka.
“Kemahiran berbahasa... sebenarnya agak stabil. Saya fikir apa jua promosi yang telah dilakukan selama ini dari segi bahasa telah membantu mengekalkannya. Orang ramai masih rasa mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil dengan agak baik. Itu mungkin ukuran yang lebih jelas tentang keberkesanan kempen dasar bahasa,” kata Zamil Penyelidik Utama dan Ketua Social Lab, Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Mathew Mathews.
Kajian IPS itu juga mendapati penguasaan bahasa Inggeris berada pada tahap tertinggi dalam sedekad, dengan sekitar 81.5 peratus responden menyatakan mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik atau sangat baik, naik dari 71.9 peratus pada 2013.
Namun, wujud jurang ketara antara kemahiran generasi muda dengan responden lebih dewasa.
Hampir kesemua responden 18 hingga 35 tahun (97.3 peratus) menunjukkan penguasaan tinggi, berbeza dengan enam daripada 10 responden berusia 65 tahun ke atas (62.2 peratus).
Sementara itu, ‘Singlish’ semakin mekar penggunaannya, diterima sebagai nadi yang membentuk identiti kebangsaan.
Kemahiran bertutur ‘Singlish’ meningkat daripada 46.8 peratus pada 2013 kepada 57.8 peratus pada 2024, didukung oleh 80 peratus belia (18-35 tahun) yang fasih berbual.
Lebih separuh responden (55 peratus) mengaku sering menggunakan ‘Singlish’ dengan teman, peningkatan ketara daripada 39.2 peratus pada 2013.
Di tempat kerja, 41.5 peratus responden kini selesa menggunakannya, berbanding 34.7 peratus pada 2018.
Majoriti responden, iaitu 57.8 peratus, bersetuju ‘Singlish’ berjaya menyegarkan jati diri orang Singapura.
Namun, Zamil Penyelidik, Dr Melvin Tay, menyatakan orang ramai keberatan menggunakan ‘Singlish’ dalam suasana formal, seperti ucapan ahli politik, di mana bahasa Inggeris piawai dijangkakan.
“Rakyat Singapura sedar Singlish mampu merapatkan ikatan, namun, mereka juga faham Bahasa Inggeris Standard wajib digunakan untuk kejelasan, capaian sejagat, dan persefahaman antarabangsa,” tegas para penyelidik tersebut.
“Ramai rakyat Singapura tahu ‘Singlish’ boleh membina hubungan baik, tetapi mereka juga sedar Bahasa Inggeris Standard diperlukan untuk kejelasan, kebolehcapaian dan kefahaman antarabangsa,” kata para penyelidik.
Mengulas tentang kajian terkini itu, para penyelidik tersebut berkata:
“Bahasa Ibunda Singapura kekal dihargai, tetapi identiti kita semakin dirundingkan melalui Bahasa Inggeris dan Singlish. Ini wajar diberi perhatian kerana bahasa bukan sahaja membentuk identiti peribadi, bahkan juga keutuhan budaya Singapura di Asia dan keupayaannya untuk mengemudi aturan sejagat yang semakin dipertikaikan.”
