Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian IPS: Sejumlah besar pekerja di S'pura mahu aturan kerja fleksibel dikekal

Apr 26, 2022 | 5:30 AM
e24df9a9-af8b-4c29-ba7d-40212aee59e3
-

SEJUMLAH besar pekerja di sini ingin aturan kerja fleksibel terus dikekalkan berbanding perlu bekerja di pejabat atau di rumah bagi kebanyakan hari, menurut satu kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS).

Kajian yang meninjau lebih 2,000 pekerja sepanjang tempoh sembilan bulan itu mendapati bahawa aturan kerja yang lebih diingini pekerja telah banyak berubah sejak pandemik ini.

Antara pertengahan Julai tahun lalu dengan bulan ini, antara 41 dengan 52 peratus responden merasakan bahawa aturan kerja fleksibel harus menjadi norma baru bagi tempat kerja di Singapura.

Dalam tempoh yang sama, sekitar 20 hingga 35 peratus responden merasakan bahawa bekerja di rumah bagi kebanyakan hari harus menjadi norma baru bagi tempat kerja.

Ini merupakan antara hasil dapatan kajian itu yang diterbitkan dalam satu laporan bertajuk Sikap Terhadap Aturan Tempat Kerja dan Kerja Di Tengah-Tengah Covid-19 Di Singapura, yang dikeluarkan semalam.

Laporan tersebut dihasilkan zamil penyelidikan utama dan ketua Makmal Sosial IPS, Dr Mathew Mathews, serta tiga penyelidik lain daripada Makmal Sosial IPS, iaitu penolong penyelidikan, Cik Fiona Phoa; pengarah bersekutu, Dr Mike Hou; dan pegawai penyelidikan, Cik Elizabeth Lim.

Kajian itu turut mendapati bahawa kaum Hawa, khususnya mereka yang memainkan peranan menjaga anggota keluarga lain di rumah, lebih berkemungkinan inginkan aturan kerja fleksibel dan bekerja di rumah.

Sekitar 73 peratus responden wanita berpendapat bahawa kerja dari rumah bagi kebanyakan hari atau aturan kerja fleksibel harus menjadi norma baru bagi tempat kerja di Singapura, berbanding sekitar 66 peratus responden lelaki yang berpendapat sedemikian.

"Keinginan bagi aturan kerja dalam norma baru yang berbeza mengikut jantina ini menunjukkan bahawa wanita terus dibebani sebahagian besar tanggungjawab penjagaan di rumah," menurut pengkaji itu.

Pengkaji itu juga menarik perhatian bahawa pekerja memiliki kesejahteraan psikologi lebih baik apabila aturan tempat kerja mereka memadani keinginan mereka.

Sebagai contoh, ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan perlu kembali ke tempat kerja bagi kebanyakan hari mengalami tahap kesejahteraan psikologi lebih rendah berbanding mereka yang bekerja dari rumah bagi kebanyakan hari.

"Adalah penting majikan cuba memahami apakah yang dikehendaki pekerja mereka berdasarkan kedudukan mereka dalam situasi kerja dan hidup mereka, sama ada mereka ada anak atau tidak... tidak semua orang mahu bekerja sepenuhnya dari rumah dan sesetengah orang ingin bekerja di pejabat juga," ujar Dr Mathews.

Mulai hari ini, semua pekerja akan dibenarkan kembali ke tempat kerja, berbanding hingga 75 peratus pekerja yang dibenarkan melakukan demikian sebelum ini, sedang Singapura terus melonggarkan sekatan Covid-19 di negara ini.

Dr Mathews, yang memimpin kajian itu, berkata:

"Singapura telah mencapai satu peralihan ke arah kehidupan dengan Covid-19... dan apa yang telah kita raih hasil belajar bekerja dari rumah secara produktif harus terus diingati sedang kita berfikir bagaimana untuk kembali ke tempat kerja."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg