Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: Kanak-kanak lebih kecil ambil masa lebih lama untuk adu kes dera seks

May 22, 2024 | 4:30 PM
Anak patung yang betul secara anatomi, ditunjukkan dalam satu bilik tempat polis berbual dengan mangsa kes penganiayaan seksual kanak-kanak.
Anak patung yang betul secara anatomi, ditunjukkan dalam satu bilik tempat polis berbual dengan mangsa kes penganiayaan seksual kanak-kanak. - Foto ST

Mangsa penderaan seksual lebih muda mungkin mengambil masa lebih lama untuk mengadu mengenai apa yang berlaku kepada mereka, berbanding mereka yang lebih tua.

Satu kajian baru yang meneliti kes penganiayaan seksual kanak-kanak dan faktor yang menyebabkan pendedahan tertangguh bagi kes sedemikian di Singapura, mendapati bahawa ia mengambil masa sekitar 32 bulan, atau dua tahun lapan bulan secara purata – dari masa bermulanya penganiayaan hingga masa pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kes berkenaan.

Ini berdasarkan sebanyak 252 kes – 227 perempuan dan 25 lelaki berusia bawah 21 tahun – yang dirujuk ke Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Forensik (CFPS) di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dari 2017 hingga 2021, lapor The Straits Times (ST).

CFPS ialah jabatan psikologi spesialis yang membantu mangsa penganiayaan dan penderaan seksual untuk menjalani penilaian dan terapi psikologi.

Majoriti kes tersebut dirujuk oleh Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) di MSF, yang menangani sebanyak 1,343 kes penganiayaan seksual kanak-kanak dari 2017 hingga 2021.

Mereka yang dianiaya secara seksual oleh adik-beradik yang tinggal bersama mereka mengambil masa paling lama untuk mengadu kes tersebut kepada seseorang, iaitu sekitar 46 bulan atau hampir empat tahun, secara purata.

Kes melibatkan kenalan paling cepat diceritakan kepada seseorang, iaitu sekitar 13 bulan secara purata.

Faktor lain yang melambatkan pendedahan kes tersebut, termasuk berapa serius penganiayaan yang dialami mangsa – daripada kes rangsangan seksual hingga ke hubungan seks secara paksa.

Mereka yang mengalami penganiayaan seks lebih serius berkemungkinan mengambil masa lebih lama untuk melaporkan kes berkenaan.

Ini adalah kajian pertama yang diketahui mengenai topik penganiayaan seksual kanak-kanak dan pendedahan kes yang tertangguh di Singapura, menurut pengarang kajian itu yang merupakan sebuah pasukan pakar psikologi MSF yang terlibat dengan ramai mangsa penganiayaan seksual kanak-kanak.

Mereka termasuk pengarang utama, Cik Pooja Hemanth, dan pengarang bersama Cik Tan Li Jen.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal akademik Child Abuse and Neglect pada Januari itu mendapati bahawa secara purata penganiayaan seksual kanak-kanak bermula ketika mangsa berusia 10 tahun.

Masa paling lama yang diambil untuk mengadu kes penganiayaan seks kanak-kanak ialah sekitar 15 tahun.

Menurut Cik Pooja, pakar psikologi klinikal utama dan penolong pengarah di CFPS, dapatan tersebut membayangkan bahawa pendedahan tertangguh adalah masalah biasa dan serius dalam kalangan mangsa penganiayaan dan penderaan seks kanak-kanak di Singapura.

Pada 21 Mei, seorang lelaki berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan sebat 24 kali kerana melakukan serangan seksual terhadap adik perempuannya.

Dia dan tiga beradik lelaki menganiaya mangsa secara seksual dari 2018 hingga 2022, ketika mangsa berusia antara lapan dengan 12 tahun.

Mangsa tersebut, yang kini berusia 14 tahun, berasa sedih kerana membuat laporan terhadap adik beradik lelakinya, namun akhirnya memberitahu pihak berkuasa di sekolahnya mengenai kes itu pada 2022.

Dalam kajian itu, secara purata, kes penganiayaan seks bermula ketika mangsa berusia sekitar lapan tahun bagi mangsa lelaki, dan sekitar 10 tahun bagi mangsa perempuan.

Cik Pooja berkata ini membayangkan bahawa penganiayaan mungkin bermula sebelum mangsa memahami makna penganiayaan seks.

Bagi kanak-kanak dan remaja, terdapat banyak halangan untuk mengadu kes penganiayaan seks kepada seseorang.

Contohnya, pelaku mungkin telah meyakinkan mangsa bahawa perbuatannya adalah “satu cara biasa untuk meluahkan kasih sayang”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg