Pelajar berasa lebih disokong dan terdorong dalam pelajaran mereka apabila ibu bapa dan guru berkomunikasi dan bekerjasama.
Demikian menurut dapatan dua kajian oleh Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang dikeluarkan pada Mei 2024 mengenai cara ibu bapa dan guru memberi kesan kepada motivasi akademik pelajar.
Dr Wong Zi Yang, felo penyelidikan NIE, menerajui satu kajian untuk memahami bagaimana sokongan daripada ibu bapa dan guru yang membolehkan pelajar membuat pilihan mereka sendiri dan melafazkan pemikiran mereka, memberi kesan ke atas motivasi pelajar dalam pelajaran mereka.
Sebagai sebahagian daripada kajian itu, dua tinjauan terhadap seramai 4,542 pelajar Menengah 1 hingga 3 daripada tujuh sekolah di Singapura telah dijalankan.
Kajian itu mendapati pelajar sebenarnya mempengaruhi sokongan yang mereka terima daripada para guru.
Apabila pelajar menunjukkan motivasi akademik, mereka berasa guru telah memberikan mereka lebih banyak sokongan.
Di samping itu, walaupun sokongan guru mempunyai kesan lebih besar berbanding sokongan ibu bapa, pelajar mendapati mereka lebih bermotivasi secara intrinsik apabila mereka menerima sokongan daripada kedua-dua ibu bapa dan guru.
Dr Wong berkata dapatan ini boleh membantu ibu bapa dan para guru agar lebih sedar dan tidak berasa putus asa ketika memberi sokongan kepada pelajar yang kurang bermotivasi.
“Pelajar yang kurang bermotivasi sering kali mendapat kurang sokongan dan ini menjadikan mereka semakin tidak bermotivasi dalam jangka masa panjang. Oleh itu, menyedari tentang dinamik antara pelajar, guru dan ibu bapa membolehkan kami lebih sedar tentang sokongan yang kami berikan kepada para pelajar,” kata beliau.
Profesor Madya Arief Liem, daripada kumpulan akademik psikologi dan pembangunan kanak-kanak dan manusia NIE, telah menerajui satu lagi kajian tentang bagaimana jangkaan akademik daripada ibu bapa dan guru mempengaruhi motivasi pelajar terhadap pelajaran mereka.
Selepas meninjau seramai 3,082 pelajar Menengah 1 hingga 3 dari sembilan sekolah di Singapura, kajian itu mendapati bahawa apabila pelajar percaya guru dan ibu bapa mereka yakin dengan kebolehan akademik mereka, ia lebih mendorong mereka mencatatkan prestasi yang baik di sekolah.
Kedua-dua kajian itu telah dijalankan pada 2023 sebagai sebahagian daripada projek kajian yang lebih besar oleh NIE yang dipanggil Impian: Pemacu, Pendaya dan Laluan Pembangunan Remaja di Singapura.
Projek NIE yang meluas ini telah ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan mengikuti perjalanan seramai 7,000 remaja sepanjang empat atau lima tahun mereka di sekolah menengah.
Ia terdiri daripada tujuh subkajian, dengan setiap satu menyiasat bidang utama pembangunan remaja.
Dr Melvin Chan, yang merupakan penolong dekan pengurusan pengetahuan di pejabat Penyelidikan Pendidikan NIE, merupakan ketua bersama penyiasat utama bagi projek itu.
Dr Chan berkata: “Para pelajar lebih cenderung menghayati mesej daripada ibu bapa dan para guru yang percaya dengan kebolehan mereka.
“Kemudian, mereka juga ingin menjadi lebih baik lagi kerana mereka mengambil harapan yang diberi oleh ibu bapa dan para guru sebagai dorongan untuk cemerlang di sekolah.”
Beliau berkata dapatan daripada kededua kajian itu menekankan peri pentingnya kerjasama ibu bapa dan guru demi mengoptimumkan motivasi pelajar.
“Kedua-dua ibu bapa dan guru memainkan kesan yang sangat sinergistik terhadap motivasi pelajar. Jadi ia adalah terbaik jika ibu bapa dan guru berkomunikasi dan menyampaikan jangkaan positif kepada pelajar secara konsisten,” kata Dr Chan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg