Kajian NVPC: Kepimpinan perlu terajui, sokong inisiatif demi kesan sosial positif
Kajian NVPC: Kepimpinan perlu terajui, sokong inisiatif demi kesan sosial positif
Pemimpin kanan perlu menerajui dan menyokong inisiatif impak sosial positif syarikat mereka, menjadikannya sebahagian amalan perniagaan jangka panjang.
Ini kerana sokongan pengurusan kanan menjadi pembeza utama antara syarikat yang menderma dan mengambil bahagian dalam kesukarelawanan korporat, dengan yang sebaliknya.
Demikian menurut Kajian Tujuan dan Impak Korporat Nasional 2025 yang dilakukan oleh Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC).
Kajian sulung itu mengenal pasti tiga halangan yang dihadapi perniagaan di sini dalam melaksanakan inisiatif yang memberi kesan positif kepada individu, masyarakat, sekitaran, ekonomi mahupun tadbir urus.
Antaranya, termasuk kurangnya minat dan sokongan kepimpinan, kekangan kewangan dan keterbatasan kakitangan.
Namun, kajian mendapati kurangnya minat dan sokongan kepimpinan adalah halangan paling ketara, membuktikan cabaran utama adalah sikap pemimpin dan bukan semata-mata batasan sumber.
Mengulas hasil dapatan itu, Penasihat kajian tersebut, Profesor Madya Strategi dan Keusahawanan, Sekolah Perniagaan Lee Kong Chian, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr David Gomulya, berkata:
“Apa yang menarik perhatian ialah komitmen syarikat untuk menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab bukan merupakan masalah sumber.
“Syarikat sering menyalahkan kekangan kewangan, tetapi data kami mendedahkan sokongan pengurusan kanan adalah pembeza paling ketara antara peserta (inisiatif yang memberi kesan positif kepada masyarakat) dengan bukan peserta.
“Halangan sebenar bukanlah ‘Mampukah kita menanggung (inisiatif) ini?’ tetapi sebaliknya ‘Adakah pemimpin kita percaya ini sesuatu yang penting?’”
Kajian NVPC itu mendapati 79 peratus syarikat setuju mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk menyokong matlamat masyarakat yang lebih luas.
Kesemua 1,100 syarikat yang ditinjau bagi kajian tersebut turut menyatakan mereka terlibat dalam inisiatif yang memberi kesan positif terhadap sekurang-kurangnya satu daripada lima bidang impak yang dilakarkan – individu, masyarakat, sekitaran, ekonomi serta tadbir urus.
Merentasi lima bidang impak itu, bidang impak ‘masyarakat’ – yang memberi tumpuan kepada kesukarelawanan dan derma korporat – menyaksikan 30 peratus syarikat terlibat dalam sekurang-kurangnya satu inisiatif.
Meskipun tidak banyak syarikat yang telah melancarkan kegiatan kesukarelawanan dan derma korporat, syarikat yang telah berbuat demikian cenderung menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dalam menyumbang kepada kedua-duanya.
Antara syarikat itu, kadar median penyertaan sukarelawan pekerja meningkat kepada 70 peratus pada 2025, daripada 50 peratus pada 2021.
Nilai median derma turut meningkat 10 kali ganda dalam tempoh yang sama, daripada $1,000 pada 2021 kepada $10,000 pada 2025, tambah kajian tersebut.
Mengulas tentang kajian itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NVPC, Encik Tony Soh, berkata:
“Terdapat pengiktirafan yang semakin meningkat bahawa kejayaan jangka panjang sesebuah syarikat dan lesen sosial untuk ia beroperasi berkait rapat dengan bagaimana ia menyumbang kepada kesejahteraan pekerjanya, masyarakat yang lebih luas serta alam sekitar.”

