Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suri rumah diiktiraf kerana gigih tuai kasih, pupuk semangat relawan

Oct 1, 2025 | 7:30 PM
Suri rumah, diiktiraf  Anugerah Sukarelawan & Kedermawanan Presiden 2025, pupuk semangat relawan 
Selain memudahkannya bekerjasama dengan institusi dan mendapatkan tajaan, Cik Sarimah Amat menganggap Anugerah Sukarelawan dan Kedermawanan Presiden 2025 dalam kategori Pemimpin Yang Baik (Terbuka) akan mendorongnya meneruskan amanah menyebarkan kebaikan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kecederaan serius pada lutut Cik Sarimah Amat pada 2010 memaksa beliau berhenti kerja sebagai guru prasekolah dan jurulatih silat.

Bagaimanapun, beliau, yang kini berusia 58 tahun, tidak berhenti menjaga dan mendidik kanak-kanak – amanah yang dipegangnya selama lebih sedekad.

Berlandaskan pengalaman 11 tahun sebagai guru prasekolah dan minatnya dalam dunia pendidikan, ibu tiga anak berusia antara 29 dengan 34 tahun itu kemudian membuka rumahnya dan menggalas peranan sebagai ibu angkat di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dengan sokongan keluarga, Cik Sarimah menyambut anak titipan pertamanya pada 2012.

“Diam tidak diam, sudah 13 tahun saya menjadi ibu titipan dan hingga ke hari ini, saya sudah menjaga enam anak titipan, dengan dua daripada mereka masih tinggal bersama saya,” kongsinya yang juga mempunyai tiga cucu dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

Saban tahun, suri rumah itu memulakan dan mengetuai pelbagai projek kemasyarakatan.

Ini termasuk menyediakan alat tulis buat kanak-kanak di luar negara melalui Projek Pensel Singapura yang diasaskannya pada 2014.

Beliau turut mengendalikan Program Champs, yang kini menyokong 50 kanak-kanak yang diberikan tuisyen percuma, bimbingan sukan dan aktiviti pemerkasaan.

Inisiatifnya kemudian berkembang bagi merangkumi Yishun Seventy One, sebuah inisiatif masyarakat yang dimulakan oleh penduduk Yishun Street 71 bagi menyokong kesejahteraan sosial jiran mereka semasa pandemik Covid-19.

Bahkan, baru-baru ini, Cik Sarimah mempelopori pula projek kebun masyarakat di Yishun Avenue 5 sebagai Naib Pengerusi Rangkaian Penduduk (RN) Nee Soon Central Zon 3, tempat penduduk berkumpul untuk bersenam, menanam dan mengeratkan semangat kejiranan.

Di atas pelbagai usaha murni ini, beliau diiktiraf dengan Anugerah Sukarelawan dan Kedermawanan Presiden 2025 dalam kategori Pemimpin Yang Baik (Terbuka), yang disampaikan Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC) di Hotel Raffles pada 1 Oktober.

Menurut NVPC, anugerah tersebut diberikan kepada individu yang telah “memimpin, menggerakkan dan memberi inspirasi kepada orang lain dengan mendedikasikan masa, bakat, harta, hubungan dan pengalaman mereka bagi menggandakan impak positif dalam masyarakat”.

Sewaktu ditemui BH di rumahnya di Yishun Street 71, Cik Sarimah berkata melihat senyuman golongan yang dibantunya dan mendengar kata-kata terima kasih memberinya kepuasan rohani yang mendalam.

“Saya paling terharu apabila golongan yang dibantu menadah tangan dan memanjatkan doa untuk saya dan rakan-rakan. Masya-Allah, tersentuh sekali hati ini.

“Inilah yang membuat saya lebih bersemangat untuk terus membantu,” jelas beliau.

Mengulas lebih lanjut tentang kebun masyarakat baru yang diusahakannya sejak tiga bulan lalu, Cik Sarimah berkata beliau terpanggil kerana prihatin terhadap kesejahteraan penduduk, khususnya warga emas.

“Apabila saya memerhatikan penduduk yang semakin menua, termasuk diri saya sendiri, saya bimbang dari segi kesihatan mental dan jasmani kami.

“Itu sebabnya saya menghubungi M Kuasa Tiga (M3) untuk mengadakan kelas senaman dan pihak RN bagi kegiatan bercucuk tanam di kebun masyarakat,” jelas beliau.

Menurutnya, ada dalam kalangan penduduk membawa cucu mereka sewaktu cuti sekolah untuk membuat kraf tangan menggunakan bahan kitar semula seperti botol plastik dan tayar kereta, atau belajar menghasilkan baja daripada sisa makanan seperti kulit telur.

“Kegiatan berkebun dan aktiviti yang kami adakan dapat membantu menyuntik keceriaan dan semangat kampung. Ia membantu mengisi masa dan kekosongan supaya warga emas kita tidak bosan.

“Hidup seseorang juga seperti sebuah taman. Kita semai benih kasih hari ini untuk menuai buah harapan untuk hari esok,” kata Cik Sarimah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg