Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Niaga perlu kekal berdaya tahan di tengah cabaran 2025

Jan 30, 2025 | 12:42 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, di Spring Reception 2025, acara sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di bangunan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) pada 29 Januari.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, di Spring Reception 2025, acara sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di bangunan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) pada 29 Januari. - Foto INSTAGRAM SCCCI

Perniagaan di sini perlu kekal tangkas, cekap, dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran yang dijangka memberi kesan ke atas prospek pertumbuhan mereka pada 2025.

Berucap pada sebuah acara Tahun Baru Cina pada 29 Januari, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata pendirian pentadbiran Amerika Syarikat yang baru mengenai perdagangan telah menimbulkan ketidaktentuan ketara – terutamanya risiko ketegangan dalam perdagangan.

“Ini akan memberi impak kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan berkaitan perdagangan, dan mungkin mengakibatkan tekanan kos baru,” tambahnya, lapor The Straits Times (ST).

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang memulakan tugas pada 20 Januari, telah mengumumkan rancangan meningkatkan tarif hingga 20 peratus ke atas barangan import dari semua rakan perdagangan.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dijangka menyederhana kepada antara 1 peratus hingga 3 peratus, dengan inflasi teras dikekalkan pada kadar 1 peratus hingga 2 peratus. Namun, perusahaan boleh menghadapi cabaran ini dengan sikap optimis dan keyakinan.

Encik Gan berucap di Spring Reception 2025, sebuah acara Tahun Baru Cina di bangunan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) pada 29 Januari.

Acara anjuran SCCCI dan Business China itu dihadiri sekitar 350 tetamu, termasuk Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; serta wakil pelbagai persatuan suku kaum Cina, persatuan perdagangan, dan pertubuhan perniagaan.

Encik Gan berkata perusahaan perlu kekal tangkas untuk merebut peluang perniagaan di rantau ini.

“Hari ini, ekonomi Asia membentuk hampir 50 peratus GDP dunia. Angka ini dijangka meningkat kepada sekitar 60 peratus menjelang 2030,” tambah beliau.

Menurut Encik Gan, di Asia, Asia Tenggara mempunyai segmen berpendapatan pertengahan yang sedang berkembang, demografi yang menggalakkan, serta transformasi digital meluas, dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

“Saya harap perniagaan kita akan memanfaatkan peluang yang dibawa oleh pembangunan rantau ini untuk meningkat dan berkembang. Ini sebabnya kami bekerjasama rapat dengan negara jiran di Asia Tenggara dan rakan ekonomi utama untuk memperkasa integrasi serantau,” katanya.

Encik Gan memberi contoh pelaksanaan terbaru Protokol Peningkatan Lanjutan Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura, yang memberikan “akses pasaran lebih baik ke China, terutama dalam sektor perkhidmatan”.

Beliau turut menyentuh berkenaan peningkatan akan datang Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0, yang bakal memperkukuh perdagangan dalam sektor ekonomi digital dan hijau, serta Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang “bakal mengukuhkan ekosistem perniagaan dalam rantau ini”.

Pemerintah juga telah menubuhkan inisiatif dan jawatankuasa semakan untuk mengurangkan beban undang-undang dan menyokong inovasi perniagaan, dengan tumpuan pada digitalisasi.

Beliau berkata, mereka yang lahir pada Tahun Ular Kayu dikenali sebagai berani, positif, dan berdaya tahan, serta kekal bersemangat dan yakin dalam menghadapi cabaran.

“Jadi, semasa kita merayakan permulaan Tahun Ular Kayu, saya berharap perusahaan kita akan terus mengekalkan ketangkasan, kelincahan, dan daya tahan mereka,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg