Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian A*Star dapati terdapat perbezaan ketara imuniti antara etnik Asia

Jun 10, 2025 | 2:34 PM
Kajian ini telah memetakan sel imun dari lima negara Asia.
Kajian ini telah memetakan sel imun dari lima negara Asia. - Foto ST

Walaupun perbezaan biologi antara lelaki dengan wanita pada peringkat molekul dan selular sudah lama diterima, satu kajian penting yang diketuai A*Star mendedahkan bahawa wujud perbezaan ketara yang sama antara pelbagai etnik Asia.

Salah satunya adalah penanda darah berkaitan sistem imun “berbeza secara ketara” antara etnik-etnik Asia, menurut Dr Shyam Prabhakar, penulis kanan kajian tersebut.

Kajian besar-besaran itu telah memetakan secara menyeluruh sel imun dari lima negara Asia, dan berpotensi membuka jalan kepada diagnosis perubatan yang lebih tepat serta rawatan peribadi yang lebih sesuai bagi masyarakat Asia.

Kajian itu diketuai penyelidik daripada Institut Genom Singapura A*Star (A*Star GIS), dengan kerjasama rakan usaha sama dari Korea Selatan, Jepun, Thailand dan India.

Mereka membuat kajian ke atas lebih 1.2 juta sel imun yang diperoleh daripada sampel darah 625 penderma dari Singapura, Thailand, Korea, Jepun dan India.

Hasil kajian Atlas Kepelbagaian Imun Asia (AIDA) telah diterbitkan dalam jurnal saintifik Cell pada Mac 2025, dan akan dibentangkan di Mesyuarat Agung Atlas Sel Manusia 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Jun di Akademi SingHealth.

Menurut Dr Prabhakar, pengarah bahagian Teknologi Sel Tunggal & Spatial A*Star GIS, kebanyakan kajian perubatan sebelum ini lebih tertumpu kepada populasi Eropah.

Oleh itu, pendekatan diagnostik yang dibangunkan berdasarkan kajian tersebut seringkali kurang tepat apabila digunakan pada populasi lain seperti masyarakat Asia.

Beliau berkata “sangat mengejutkan” untuk menemui perbezaan sifat darah dalam kalangan etnik Asia sama dengan perbezaan antara kaum lelaki dengan wanita.

“Adalah jelas bahawa perlu mempunyai lelaki dan wanita dalam kohort (untuk ujian dadah)... kerana kami memahami perbezaan biologi ini,” kata Dr Prabhaka.

“Data menunjukkan bahawa perkara yang sama terpakai kepada etnik. Anda tidak boleh melakukan percubaan dadah pada satu etnik dan mengatakan bahawa keputusan itu terpakai untuk semua.”

Contohnya adalah dengan sel imun yang dikenali sebagai sel naif CD4+ T, yang boleh digunakan untuk menunjukkan keradangan dalam badan yang disebabkan oleh proses penuaan.

Penyelidik mendapati bahawa umur mempengaruhi sel-sel itu secara berbeza pada orang Cina, Melayu dan India Singapura.

Ini bermakna, apabila mereka daripada kumpulan tersebut semakin tua, risiko penyakit keradangan mungkin tidak sama.

Oleh itu, strategi penyaringan yang berbeza untuk kumpulan etnik yang berbeza di Singapura diperlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg