Setiap hari, Encik Firdaus (nama samaran), lelaki berusia 45 tahun, bangun dengan keletihan yang tidak pernah surut.
Walaupun tidak melakukan sebarang kegiatan berat, tubuhnya terasa lemah, perutnya senak walaupun baru menjamah sedikit makanan, dan yang membimbangkan, lebam-lebam mula muncul di badannya tanpa sebab yang jelas.
Lebam itu juga mengambil masa yang lama untuk pulih.
“Awalnya saya fikir saya hanya penat biasa. Tapi apabila lebam mula muncul dan rasa kenyang datang terlalu cepat setiap kali makan, saya mula risau,” kata Encik Firdaus.
Hasil pemeriksaan lanjut mendedahkan beliau menghidap mielofibrosis, sejenis barah darah kronik yang jarang berlaku.
Penyakit itu menyebabkan sumsum tulang, tempat utama penghasilan sel darah, mengalami kerosakan dan digantikan oleh tisu parut.
Menurut penjelasan doktor yang merawatnya, mielofibrosis berasal daripada perkataan ‘mieloid’ (kapasiti membuat sel darah) dan ‘fibrosis’ (parut tisu).
Penyakit itu merupakan sebahagian daripada kumpulan mieloproliferatif neoplasm (MPN), iaitu keadaan apabila pengeluaran sel darah menjadi tidak normal akibat kecacatan pada sumsum tulang.
“Doktor kata, apabila sumsum tulang saya gagal berfungsi dengan baik, limpa saya terpaksa mengambil alih untuk hasilkan sel darah.
“Itu yang menyebabkan limpa saya membesar dan perut jadi rasa senak,” jelasnya.
Antara gejala utama yang dialami oleh pesakit mielofibrosis termasuk:
– Keletihan yang berpanjangan
– Rasa tidak selesa di bahagian perut (terutama bawah rusuk kiri)
– Rasa kenyang walaupun belum makan atau makan dalam jumlah kecil
– Demam, lebam mudah berlaku, dan luka yang lambat sembuh
“Doktor nasihatkan saya supaya jangan abaikan apa-apa perubahan pada badan.
“Walaupun gejala nampak kecil, ia mungkin tanda penyakit ini semakin berkembang.
“Dalam sesetengah kes, ia boleh bertukar menjadi leukemia,” ujar Encik Firdaus.
Menurutnya, pemerhatian berterusan dan kerjasama dengan pakar kesihatan sangat penting.
“Kalau saya rasa ada demam luar biasa atau luka lambat baik, saya terus maklumkan kepada doktor.
“Doktor kata, dengan pemantauan secara tekal, kita boleh kawal gejala dan rancang rawatan dengan lebih baik,” tambahnya.
Namun begitu, bukan semua pesakit mengalami gejala ketara. Ada juga yang hanya dikesan mempunyai masalah selepas menjalani ujian darah rutin.
Dalam kes Encik Firdaus, kiraan sel darahnya tidak normal dan limpa yang membesar menyebabkan beliau dirujuk kepada pakar hematologi – cabang sains perubatan berkaitan darah dan tisu pembentuk darah – untuk pengesahan.
“Selepas didiagnosis, doktor akan tentukan tahap risiko sama ada rendah, sederhana, atau tinggi.
“Penilaian ini berdasarkan umur saya, tahap anemia, kiraan sel darah putih dan platelet, kehadiran sel darah tidak matang, dan juga faktor genetik,” katanya.
Walaupun tiada sekatan pemakanan khusus, Encik Firdaus dinasihatkan agar mengamalkan diet seimbang dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Rawatan bergantung kepada gejala. Kalau rawatan dimulakan awal, ia boleh bantu kawal gejala dan memanjangkan jangka hayat.
:Saya rasa bersyukur sebab saya bertindak apabila saya mula perasan ada yang tak kena,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap perubahan kesihatan diri dan tidak malu untuk berkongsi kebimbangan dengan doktor.
“Jangan simpan. Apabila saya mula terbuka, doktor boleh rancang rawatan yang sesuai.
“Kita kena tahu bahawa penyakit ini boleh berubah dengan masa, jadi pemantauan berterusan sangat penting,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg