Satu kajian baru telah menemui mikroplastik dalam haiwan marin di kawasan pesisir pantai Singapura.
Penyelidik mengesan kehadiran kesan plastik itu bukan sahaja dalam saluran pencernaan haiwan tersebut, bahkan juga dalam organ pernafasan dan cecair badan mereka.
Mikroplastik memasuki badan haiwan bukan sahaja melalui makanan, malah semasa mereka bernafas atau berada di dalam air, kata para penyelidik Institut Sains Marin Tropika (TMSI), Universiti Nasional Singapura (NUS).
Kajian itu turut menunjukkan mikroplastik tersebar luas di habitat pesisir Singapura – termasuk hutan bakau, terumbu karang dan padang rumput laut – dan mungkin boleh berpindah dari satu organisma ke organisma lain.
Kajian sebelum ini lebih tertumpu kepada kehadiran mikroplastik – iaitu cebisan plastik halus bersaiz kurang lima milimeter – dalam persekitaran Singapura, kata penyelidik bersama kajian itu, Felow Penyelidik Kanan TMSI, Dr Neo Mei Lin.
Pasukan penyelidik TMSI menerusi kajian itu ingin meneliti dengan lebih mendalam tentang kehadiran, taburan, jumlah dan jenis mikroplastik dalam organisma perairan tempatan.
Kajian itu adalah sebahagian daripada satu projek besar yang meneliti kesan dan risiko pencemaran plastik laut di persekitaran pesisir.
Meskipun bidang kajian mikroplastik masih baru, dan tidak banyak perkara yang diketahui tentang kesannya, satu kajian makmal menunjukkan mikroplastik boleh memberi kesan buruk kepada haiwan.
Sebagai contoh, ia melambatkan perkembangan dan mengganggu pembiakan.
Demikian menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat.
Empat spesies marin telah dipilih untuk kajian TMSI iaitu ketam rebab oren (Gelasimus vocans); ketam rebab porselin (Austruca annulipes); timun laut ‘garlic bread’ (Holothuria scabra); dan timun laut ‘synaptid’ (Synaptula recta).
Spesies yang biasa dijumpai di rantau Asia Tenggara ini “biasanya memakan dan memproses sedimen dalam jumlah besar”, menjadikan haiwan itu petunjuk berguna bagi penyelidik menilai tahap pencemaran mikroplastik di persekitaran marin, jelas Dr Neo.
Sedimen adalah bahan seperti lumpur, pasir dan kelikir yang dibawa dan ditinggalkan air.
Sebanyak 153 sampel hidup daripada keempat-empat spesies itu telah dikumpul antara November 2021 dengan Mei 2022 dari kawasan bakau, padang rumput laut dan terumbu karang di tujuh lokasi sekitar Singapura.
Lokasi tersebut ialah Taman Pasir Ris, Pulau St John, Pulau Kusu, Pulau Subar Darat (Small Sister’s Island), Pulau Semakau, Pantai Changi dan Pulau Hantu Besar.
Haiwan tersebut kemudian dibedah supaya sampel mikroplastik dapat diambil dari organ haiwan itu.
Untuk ketam rebab, bahagian insang, hepatopankreas – sebuah kelenjar pencernaan yang mempunyai fungsi sama dengan hati dan pankreas manusia – dan usus diperiksa.
Bagi timun laut Holothuria scabra, penyelidik meneliti tiub pernafasan, usus dan cecair selom (‘coelomic’) yang penting untuk pengangkutan nutrien dan gas.
Bagi timun laut synaptid, hanya bahagian ususnya diteliti kerana ia tidak mempunyai tiub pernafasan.
Sebanyak 1,266 sampel mikroplastik ditemui dalam organ tersebut dan kebanyakan kesan plastik yang dijumpai berukuran kurang satu milimeter.
Bahan polimer yang biasa digunakan dalam kehidupan harian, seperti botol plastik, pembungkusan, tekstil buatan, dan bahagian automotif turut dikenal pasti dalam sampel mikroplastik yang dianalisis.
Maklumat yang dijumpai itu penting kerana ia membolehkan penyelidik mengenal pasti jenis plastik yang berkemungkinan besar dimakan oleh haiwan marin, kata Felow Penyelidik TMSI, Dr Ashwini Suresh Kumar.
Para penyelidik mendapati mikroplastik berkemungkinan masuk ke dalam tubuh ketam rebab dan timun laut Holothuria scabra melalui pernafasan dan sentuhan langsung dengan air laut tercemar.
Kelenjar pencernaan, hepatopankreas, dalam kedua-dua spesies ketam rebab secara umumnya mencatat jumlah mikroplastik tertinggi, yang berkemungkinan besar disebabkan oleh pemakanan.
Apabila ditanya tentang implikasi penemuan itu terhadap keselamatan makanan laut yang diternak secara tempatan, Dr Neo berkata kajian lanjut masih diperlukan.
Beliau menjelaskan usus haiwan yang tercemar “biasanya akan dibuang dan dibersihkan sebelum dijual”, sambil menambah bahawa “kenyataan umum mengenai (kesan) manusia menelan mikroplastik perlu diteliti dengan berhati-hati”.
“Meskipun kami tidak merancang untuk meneliti kesan jangka panjang menerusi tinjauan atau pensampelan, kajian semasa kami telah mencetuskan persoalan baru, seperti cara membangunkan pendekatan terkini untuk mengkaji taburan mikroplastik dalam organisma,” katanya.
Singapura melancarkan strategi tindakan kebangsaan pada Jun 2022 untuk mengurangkan sisa plastik dari darat dan laut yang menyumbang kepada pencemaran marin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg