Warga Singapura yang semakin berusia didapati lebih jarang berjumpa doktor gigi, berasa lebih sunyi dan berdepan risiko menjadi semakin lemah secara fizikal.
Perkara itu didedahkan menerusi satu kajian longitudinal nasional terkini yang menunjukkan hanya sekitar seorang dalam empat warga emas telah berjumpa doktor gigi dalam tempoh enam bulan lalu, manakala hampir sepertiga warga emas sudah lebih lima tahun tidak menemui doktor gigi.
“Terdapat kemungkinan ramai hanya berjumpa doktor gigi apabila menghadapi masalah, namun, mereka mungkin tidak melihat pencegahan sebagai sesuatu langkah yang boleh dijalankan dalam konteks kesihatan gigi,” kata Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penuaan di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Profesor Madya Rahul Malhotra.
Profesor Rahul merupakan penulis utama pusingan terkini kajian Peralihan dalam Kesihatan, Pekerjaan, Penglibatan Sosial dan Pemindahan Antara Generasi di Singapura (The Signs).
Pusingan kajian yang diberi nama ‘Wave 3a’ itu dibiayai Pejabat Perancangan Penuaan di bawah Kementerian Kesihatan (MOH).
Dengan penyelidikan dan dasar terkini memberi tumpuan kepada kesihatan mulut, dan kajian lain mendapati kaitan kesihatan mulut dengan kesihatan dan aspek sosial lain, satu modul pergigian telah dimasukkan dalam pusingan kajian kali ini, jelas Profesor Rahul.
Selain itu, pengenalan subsidi pergigian baru di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) memberi peluang baik bagi meningkatkan kesedaran warga emas mengenai kepentingan pemeriksaan gigi secara berkala, tambahnya.
Seramai 1,535 warga emas berumur 67 hingga 101 tahun, termasuk 64 individu berumur 90 tahun dan ke atas, telah menyertai tinjauan itu, lapor The Straits Times.
Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan asal yang menyertai kajian tersebut pada 2016 hingga 2017.
Keputusan kajian itu diterbitkan pada 30 Disember 2025.
Kajian seperti itu memberikan gambaran jelas dalam merangka inisiatif bagi membantu penduduk warga emas Singapura mengekalkan kesihatan dan hubungan sosial, serta menua dengan baik.
Kajian ‘The Signs’ mendapati sekitar separuh daripada warga emas yang tinggal dalam masyarakat menunjukkan tanda-tanda kelemahan fizikal – daripada kelemahan ringan sehingga yang teruk – dengan dua pertiga daripada mereka hanya mengalami kelemahan sangat ringan.
Menurut Profesor Rahul, kumpulan warga emas yang berada pada tahap tidak begitu lemah itu seharusnya menumpukan perhatian kepada langkah pengukuhan otot dan mengekalkan diet seimbang sebagai pencegahan, sebelum menjadi lebih lemah.
Apabila warga emas semakin berusia, mereka juga lazimnya berasa lebih sunyi, dengan hampir seorang daripada empat peserta tinjauan itu melaporkan sering berasa sunyi.
Kadar warga emas yang sering berasa sunyi adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 80 tahun dan ke atas.
Kadar ini lebih tinggi sedikit dalam kalangan wanita, serta lebih tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu dan India.
Antara isu lain yang dikemukakan dalam kajian itu termasuk peningkatan gejala kemurungan dalam kalangan warga emas, rangkaian sosial semakin kecil, serta rasa kepercayaan dan semangat kejiranan yang lebih rendah.
Tindakan segera diperlukan bagi menangani isu-isu itu selaras dengan penuaan penduduk Singapura, kata kumpulan penulis tersebut dalam kesimpulan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg