Kakitangan barisan hadapan seperti pegawai khidmat pelanggan di semua poliklinik akan menerima latihan untuk menyokong golongan yang mengalami autisme dan keperluan intelektual dengan lebih baik mulai 2027.

Latihan tersebut merangkumi kemahiran berkomunikasi secara berkesan, supaya kakitangan barisan hadapan dapat memberi respons dan layanan sesuai kepada golongan ini, misalnya memberi keutamaan dalam menunggu giliran, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan pada 4 Oktober.

MSF menambah bahawa tiga poliklinik di setiap kelompok kesihatan di sini juga akan mempunyai sokongan khusus bagi golongan sedemikian menjelang 2028.

Terdapat tiga kelompok kesihatan secara keseluruhan, dengan setiap satu dikendalikan oleh SingHealth, NUHS dan NHG Health.

Sokongan tersebut, kata MSF, merangkumi antara lain tempoh lebih lama ketika berjumpa doktor atau pakar, dan penglibatan lebih rapat antara anggota keluarga orang kurang upaya dengan kakitangan kesihatan.

Usaha ini dibuat menyusuli laporan saranan Pasukan Petugas Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya yang diterbitkan pada 4 Oktober.

Ia antara lain mengentengahkan usaha bagi meningkatkan keupayaan orang kurang upaya ke arah kehidupan berdikari dan lebih terangkum.

Laporan itu mendapati penjaga dan orang kurang upaya bimbang sama ada mereka dapat melibatkan diri bersama masyarakat umum, kemaslahatan kesihatan mereka dan akses kepada sokongan sekiranya keadaan mereka berubah.

Oleh demikian, antara perkara utama adalah memastikan sokongan kepada akses perkhidmatan penjagaan kesihatan diperkukuh, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital) yang juga anggota pasukan petugas itu, Cik Rahayu Mahzam.

Berkongsi semasa sidang media di Enabling Village pada 2 Oktober bagi menghuraikan saranan pasukan petugas, Cik Rahayu berkata tumpuan diberikan kepada golongan berkeperluan intelektual dan autisme kerana ia sukar dikesan oleh mata kasar.

Beliau menyifatkan langkah yang bakal diperkenalkan ini sebagai “satu anjakan besar” dan bersifat praktikal, namun beberapa pertimbangan harus diambil kira.

“Persoalannya kini, bagaimanakah kami dapat melaksanakannya secara berkesan -- iaitu memastikan perkhidmatan terus berjalan lancar sambil menyediakan penyesuaian yang sewajarnya?

“Ia memerlukan kakitangan terlatih untuk mengendalikan situasi yang sukar, memandangkan keadaan boleh menjadi agresif atau sangat mencabar.

“Oleh itu, menyediakan latihan yang betul dan membangunkan keupayaan adalah langkah penting sebelum kami melaksanakan inisiatif-inisiatif tersebut,” ujarnya.

Usaha sedemikian dilakukan di bawah teras membantu orang kurang upaya kekal sihat – teras lain termasuk memperluas sokongan dan peluang penglibatan masyarakat, dan membina masyarakat lebih terangkum, tambah laporan itu.

Kesemua teras ini bertujuan membantu orang kurang upaya dan anggota keluarga mereka memperoleh kehidupan sejahtera dalam masyarakat.

Selain usaha melatih barisan hadapan dan sokongan khusus di tiga poliklinik, laporan itu menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) dan agensi sosial SG Enable akan melancarkan Pasport Komunikasi Kesihatan (HCP) mulai 2027.

HCP adalah dokumen yang mengandungi maklumat bagaimana individu dengan keperluan intelektual atau autisme ingin berkomunikasi, iaitu sama ada secara lisan, secara bertulis atau dengan bantuan alat visual.

“Ia akan membenarkan kakitangan penjagaan kesihatan untuk memahami dan menyokong individu sedemikian dengan lebih baik dan mengurangkan keperluan untuk pesakit dan penjaga mereka menjelaskan maklumat sama berulang kali di lokasi berbeza,” kata laporan itu.

Sehubungan itu, MSF, SG Enable dan Kementerian Pendidikan (MOE) akan mempergiat usaha di sekolah dan tempat kerja untuk membina pemahaman, keyakinan dan kemahiran ke arah interaksi bermakna dengan orang kurang upaya, kata MSF.

Masyarakat awam juga akan dilengkapkan dengan kemahiran untuk berinteraksi dengan orang kurang upaya dalam kehidupan harian mereka menerusi usahasama MSF dan SG Enable, tambah MSF, sejajar dengan usaha untuk membina masyarakat terangkum.

Berkenaan usaha memperluas sokongan dan peluang penglibatan masyarakat pula, laporan itu menyatakan MSF akan menambah 1,300 lagi tempat di pusat aktiviti harian (DAC) dan bengkel terlindung, iaitu program bimbingan pekerjaan, menjelang 2030.

Ini sebagai tambahan kepada 1,000 tempat baharu yang telah diumumkan sebelum ini pada 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kepada sekitar 5,800 tempat.