Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang latihan dalam sektor IT, kewangan, industri kreatif bagi golongan kurang upaya

Dec 5, 2025 | 8:11 PM
Peluang latihan dalam sektor IT, kewangan, golongan kurang upaya, Vista@Enabling Village
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), meninjau kemudahan yang ditawarkan Vista@Enabling Village selepas melancarkan bangunan baru itu pada 5 Disember. Bersamanya ialah Ketua Pegawai Eksekutif SG Enable, Cik Lee May Gee (kanan). - Foto ST

Lebih banyak peluang latihan dalam sektor seperti teknologi maklumat, kewangan dan industri kreatif bakal tersedia bagi golongan kurang upaya dalam jangka masa terdekat.

Ini memandangkan lebih banyak rakan kerjasama, meliputi badan korporat dan pertubuhan masyarakat, daripada sektor sedemikian tampil memberikan perkhidmatan masing-masing kepada Enabling Village, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ketika berucap di majlis pelancaran Vista@Enabling Village di Lengkok Bahru pada 5 Disember, beliau berkata dengan keterlibatan lebih ramai rakan kerjasama sedemikian, ia dapat memperluaskan laluan kerjaya bagi golongan ini.

Vista@Enabling Village merupakan bangunan empat tingkat baru yang berfungsi sebagai sambungan kepada Enabling Village, iaitu pusat sehenti bagi golongan kurang upaya yang dikendali agensi perkhidmatan sosial, SG Enable.

Encik Wong berkata: “Dengan (pelancaran) Vista, kami akan mempertingkatkan usaha daripada asas kukuh yang telah diletakkan sejak sedekad lalu, meningkatkan tawaran perkhidmatan dan mewujudkan lebih banyak peluang buat golongan kurang upaya.

“Kami akan memperluas latihan kepada sektor baru seperti teknologi maklumat, kewangan dan industri kreatif – termasuk muzik dan media.”

Beliau menukil sekolah muzik MS Academy kendalian perusahaan sosial Music Solutions di bangunan baru itu sebagai contoh kerjasama sedemikian dan menyifatkannya sebagai salah satu bahagian penting dalam aspek keterangkuman masyarakat.

“Lebih penting adalah kita ingin memperkayakan golongan kurang upaya untuk melibatkan diri dalam masyarakat secara sepenuhnya,” tambahnya.

Menurut Encik Wong, pembukaan Vista@Enabling Village bakal membuka ruang bagi perpaduan masyarakat dan sosial, memandangkan lebih banyak program dapat dianjurkan untuk golongan kurang upaya dan ia akan menjadi tempat pelbagai golongan dapat berkumpul.

Oleh itu, beliau berkata bangunan baru tersebut “bukanlah sekadar sambungan dari segi ruang semata-mata, tetapi sambungan dari segi matlamat” yang ditetapkan Enabling Village, sejajar dengan seruan Pengerusi SG Enable, Encik Moses Lee.

Semasa berucap, Encik Lee berkata sudah tiba masanya Enabling Village – yang menyambut ulang tahun ke-10 sejak dilancarkan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, pada 2015 – mencorak lembaran seterusnya.

Beliau menyifatkan lembaran baru ini sebagai Enabling Village 2.0, yang padat dengan inovasi dan perkembangan.

Bahkan, beliau berkata ruangan di pusat sehenti itu telah diguna pakai sepenuhnya oleh pengendali perkhidmatan.

Antaranya adalah restoran makanan sihat AMGD Superfood yang dikendali penyedia makanan sihat AMGD Global. Restoran yang dibuka secara rasmi pada Mei itu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berkeperluan khas.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AMGD Global, Cik Rita Zahara Mohamed Nazeer, berkata penubuhan restoran di Enabling Village mencerminkan nilai syarikat yang berpaksikan nutrisi, teknologi, maruah dan sifat keterangkuman.

“Sejak dibuka, kami telah menggajikan lebih 10 orang kurang upaya yang melakukan peranan sebenar dan bermakna.

“Mereka melayan pelanggan, menyediakan barangan, dan menyokong operasi harian. Sifat keterangkuman di sini bukanlah simbolik semata-mata, ia cara kami beroperasi.”

Antara hadirin di majlis itu, Dr Abdul Majeed Abdul Khader, berkata kemudahan baru yang dibangunkan di Vista@Enabling Village menandakan pemerintah bersedia untuk melabur dan komited terhadap golongan orang kurang upaya dan penjaga mereka.

Anak bongsunya yang berusia 22 tahun mengalami autisme, di samping gangguan keresahan, sawan dan gastrousus.

Ketika ditemui Berita Harian semasa beliau meninjau contoh flat HDB – salah satu daripada kemudahan baru di Vista@Enabling Village – Dr Majeed berkata kemudahan sedemikian “membantu orang kurang upaya mengetahui cara kehidupan di flat”.

“Kemudahan seperti ini menunjukkan sifat belas ihsan pemerintah, yang juga mengutamakan golongan kurang upaya dan penjaga mereka,” ujarnya.

Contoh flat HDB itu merupakan sebahagian inisiatif Studio Kehidupan Berdikari (ILS) yang diurus secara bersama SG Enable dan Touch Community Services.

Menukil kenyataan SG Enable pada 5 Disember, flat contoh itu melakar persekitaran yang membolehkan penjaga dan orang kurang upaya mempelajari dan mengaplikasikan kemahiran, supaya mereka mengenal pasti cara praktikal mewujudkan keadaan hidup yang lebih selamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg