Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kakitangan hotel diiktiraf atas sumbangan, peranan jaga keselamatan

Oct 24, 2024 | 2:24 PM
(Dari kiri) Cik Jiang Liyan, Encik Azhar Hamid dan Encik Kenneth Luah merupakan antara 267 pekerja hotel yang mendapat pujian dalam majlis penyampaian Anugerah Keselamatan Hotel tahunan Persatuan Hotel Singapura di Furama Riverfront Singapura pada 23 Oktober.
(Dari kiri) Cik Jiang Liyan, Encik Azhar Hamid dan Encik Kenneth Luah merupakan antara 267 pekerja hotel yang mendapat pujian dalam majlis penyampaian Anugerah Keselamatan Hotel tahunan Persatuan Hotel Singapura di Furama Riverfront Singapura pada 23 Oktober. - Foto LIANHE ZAOBAO

Pengurus tugas Village Hotel Sentosa, Encik Kenneth Luah, 32 tahun, sedang berada di pejabatnya apabila rakan sekerjanya memaklumkan bahawa ada seorang kanak-kanak perempuan yang tercekik semasa makan di restoran di premis hotel itu.

Beliau bergegas ke sana dan melihat seorang kanak-kanak perempuan, yang kelihatan berusia tidak lebih 11 tahun, tercungap-cungap dengan muka, bibir dan hujung jarinya bertukar menjadi ungu.

Ibu bapanya memanggilnya dengan panik dan menepuk badan belakangnya untuk cuba mengeluarkan seketul ayam dari mulutnya.

Kejadian pada April itu adalah kali pertama Encik Luah melihat seseorang tercekik semasa makan tetapi beliau bertindak tangkas dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu, lapor The Straits Times.

Beliau adalah 267 pekerja hotel yang diiktiraf dalam majlis penyampaian Anugerah Keselamatan Hotel tahunan Persatuan Hotel Singapura di Furama Riverfront Singapura pada 23 Oktober.

Anugerah itu, yang bermula pada 1981, mengiktiraf pekerja hotel kerana menjaga keselamatan dalam perusahaan itu.

Encik Luah berkata: “Keseluruhan proses itu hanya kira-kira lima minit, tetapi bagi saya, ia terasa seperti tiada penghujung.

“Tiada masa untuk rasa takut. Tumpuan keseluruhan adalah untuk mengeluarkan makanan itu dan memastikan kanak-kanak itu tidak apa-apa.”

Beliau juga cuba menepuk belakang kanak-kanak itu dan melakukan kaedah ‘manuver Heimlich’.

Apabila kanak-kanak itu tidak sedarkan diri dan berhenti bernafas, Encik Luah menggunakan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atasnya sehingga kanak-kanak itu bernafas semula tetapi dengan sangat lemah.

Beliau menyambung CPR sehingga paramedik tiba sebelum kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital.

Encik Luah antara 14 penerima Anugerah Sebutan Khas dalam bidang kejujuran, keberanian dan kewaspadaan.

Di majlis itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata penerima anugerah “telah menjadikan perusahaan hotel sebagai tempat yang selamat dan terjamin untuk bekerja dan dinikmati pengunjung”.

Turut diiktiraf pada majlis itu ialah atendan pengemasan bilik Hotel Grand Pacific, Cik Jiang Liyan, dari China, yang menerima Anugerah Sebutan Khas Kejujuran.

Pada Mac, Cik Jiang, 42 tahun, sedang membersihkan bilik apabila beliau menemui sebuah beg ziploc hitam berisi seikat besar wang kertas Singapura berjumlah lebih $10,000.

Beliau segera mengambil gambar wang itu dan menghantarnya kepada pengurus pengemasannya.

Wang itu kemudiannya dipulangkan kepada dua pelancong China.

Menerima Anugerah Sebutan Khas Kewaspadaan ialah Encik Azhar Hamid, 58 tahun, ketua keselamatan di hotel dan kelab kapal layar One15 Marina Sentosa Cove.

Pada 25 September 2023, Encik Azhar sedang memantau rakaman pengawasan CCTV di pusat arahan bomba hotel itu apabila beliau terlihat seorang lelaki mundar-mandir di luar pintu pagar hotel itu dan cuba membukanya.

Apabila seorang anggota kru kapal layar memasuki hotel itu, lelaki itu mengekorinya.

Encik Azhar melihat lelaki itu menaiki sebuah kapal layar dan melakukan sesuatu pada beberapa tin cecair mudah terbakar.

Lelaki itu, yang mengeluarkan kata-kata kesat dan cuba menerkam Encik Azhar ketika disoal, kemudian disiasat polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg