Kakitangan perkhidmatan sosial yang ingin melanjutkan pengajian akan menerima tajaan yuran penuh daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mulai April 2026 berbanding 75 peratus kini.
Bantuan yang dipertingkat menerusi Tajaan Pembangunan Profesional itu merupakan antara langkah yang diperkenal MSF dalam usaha memperkukuh tenaga kerja sektor khidmat sosial bagi memenuhi keperluan perkhidmatan sosial yang semakin meningkat.
Ini di samping inisiatif lain yang diperkenal termasuk anugerah pengajian bagi menggalak lebih ramai individu menyertai sektor perkhidmatan sosial dan membantu profesional sepenuh masa seperti pekerja sosial.
Langkah-langkah tersebut diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa acara penghargaan MSF di Gardens by the Bay pada 9 Disember.
Beliau berkata strategi tersebut bertujuan memperkukuh tenaga kerja industri perkhidmatan sosial dengan meluaskan saluran bakat dan melengkapkan kakitangan dengan kemahiran khusus bagi menangani keperluan masyarakat yang semakin kompleks.
“Cabaran keluarga kini berubah dengan munculnya masalah baru seperti isu kesihatan mental, keterangkuman digital dan pengasingan sosial.
“Perubahan ini mungkin meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja sektor kami, yang sememangnya terhad,” tambah beliau.
Oleh itu, beliau menekankan keperluan mendesak untuk mengukuhkan saluran tenaga kerja dan keupayaan sektor tersebut.
Sementara itu, mulai April 2026, Anugerah Pembelajaran Kumpulan Karyawan Perkhidmatan Sosial juga akan diperluas untuk menyokong individu yang mengikuti pengajian di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), seperti diploma dalam bidang kerja sosial.
Buat masa kini, anugerah tersebut hanya menyokong mereka yang ingin memperolehi kelayakan profesional penuh, seperti ijazah dalam bidang kerja sosial atau fisioterapi.
MSF juga merancang untuk meningkatkan sokongan terhadap pembangunan kepimpinan dalam sektor perkhidmatan sosial, tambah Encik Masagos.
Dengan itu, sebuah rangkaian profesional khusus, dikenali sebagai Nexus Penyeliaan, akan ditubuhkan mulai Mac 2026 untuk memperkukuh dan menambah baik piawai amalan penyeliaan.
Menurut MSF, rangkaian itu akan menyokong pemimpin profesional dengan menetapkan garis panduan dan menyediakan bahan serta sumber yang diperlukan bagi memastikan amalan penyeliaan yang baik.
Selain itu, pemimpin dengan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman di agensi perkhidmatan sosial (SSA) kini boleh mengikuti siri kursus yang membina kecekapan asas kepimpinan di bawah Geran Kepimpinan Asas.
Ia memberi tumpuan kepada pembangunan pendekatan baru dalam menyelesaikan masalah, memupuk inovasi, dan membina pertubuhan yang bersedia untuk masa depan.
MSF berkata program ini sebelum ini hanya ditawarkan kepada pemimpin pertengahan kerjaya.
Mengalu-alukan langkah demi memperkukuh sektor sosial itu, Pengarah Eksekutif AMP Singapore, Encik Mohksin Rashid, berkata sekitar 40 kakitangan di agensinya berpotensi meraih manfaat daripada sokongan tersebut.
Menurut beliau, golongan tersebut terdiri daripada kakitangan kerja sosial dan kaunseling di pelbagai peringkat kerjaya.
Beliau berkata inisiatif MSF ini menyediakan peluang lebih luas untuk agensi seperti AMP menarik lebih ramai individu memasuki sektor perkhidmatan sosial, sambil membantu kakitangan sedia ada membangunkan keupayaan profesional mereka.
“Sokongan subsidi yang lebih tinggi sudah tentu memberi manfaat besar kepada kakitangan kami,” katanya, yang memegang jawatan itu sejak September 2021.
Dengan adanya laluan pendidikan dan latihan yang diperluas, Encik Mohksin berkata agensi seperti AMP dapat memastikan kakitangan mereka terus kekal relevan dan dilengkapi kemahiran yang diperlukan untuk menangani isu masyarakat yang semakin kompleks, sekali gus membuat keputusan yang lebih baik untuk klien dan organisasi itu.
Langkah memperkukuh sokongan bagi pemimpin industri baru juga penting, dan Timbalan Pengarah Projek Khas di SATA CommHealth, Cik Siti Zubaidah Yusoff menyambut baik peluasan pada skim tersebut.
Bagi beliau yang baru dilantik ke peranan itu sejak Januari, peralihan daripada tugas klinikal harian kepada kepimpinan menuntut perspektif yang lebih luas.
“Apabila seseorang beralih dari peranan klinikal kepada kepimpinan, sudut pandangnya berubah kepada keperluan kakitangan, latihan yang mereka perlukan, isu tenaga kerja, dan bagaimana memastikan perkhidmatan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata kurikulum kepimpinan yang lebih tersusun akan memberikan asas penting untuk menangani cabaran kepimpinan, sekali gus mengurangkan risiko keletihan atau ‘burnout’.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg