Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa titipan gigih perkasa dua anak keperluan khas

Nov 16, 2025 | 5:41 PM
ibu bapa, titipan, ADHD
Ibu bapa titipan, Encik Muhammad Najib Mohyah dan Cik Nur Halimah Ali, menjaga dua anak titipan, Syahira (bukan nama sebenar) (kanan) dan Uwais (juga bukan nama sebenar), yang kemudian dikenal pasti dengan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD). - Foto ZAOBAO

Setiap kali pulang dari sekolah, Syahira (bukan nama sebenar), sembilan tahun, bercerita tentang latihan band atau rentak dram baru yang sedang dipelajarinya.

Bagi ibu bapa titipannya, Cik Nur Halimah Ali, dan suami, Encik Muhammad Najib Mohyah, kedua-duanya 41 tahun, rutin kecil seperti ini amat bermakna.

“Kali pertama kami mengambil Syahira, dia sukar bertenang. Setiap malam, dia bangun menangis dan akan kejungkan badannya. Kami cuba bermacam-macam cara menenangkannya tetapi kami sedar dia hanya perlukan lebih masa,” kata Cik Halimah, yang mula menjaga Syahira pada 2018, ketika anak itu berusia 16 bulan.

Pasangan itu yang tidak mempunyai anak kandung mempertimbangkan menjadi ibu bapa titipan selepas menghadiri satu sesi jerayawara dan menyedari ramai kanak-kanak memerlukan rumah yang stabil.

“Kami punya ruang dan kasih dalam hati untuk seorang anak. Kami memang mahu membangun keluarga kami sendiri,” ujar Cik Halimah, seorang peniaga dari rumah.

Namun, tahun-tahun awal penuh cabaran. Selama enam bulan pertama, Syahira bangun hampir setiap malam dalam keadaan ketakutan.

Di prasekolah, gurunya mendapati dia sering bersedih, melekat pada penjaga, dan sukar menyesuaikan diri.

Keadaan bertambah mencabar apabila dia memasuki Darjah 1, di mana dia sukar duduk diam, kerap keluar kelas tanpa izin dan beberapa kali memberontak setiap minggu.

Guru-gurunya pula peka dan mengesyorkan Cik Halimah membawa Syahira menjalani penilaian tingkah laku, di mana dia kemudian dikesan menghidap Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

“Pemikiran dia macam roket, fikirannya sangat laju. Setelah diagnosis berkenaan, kami lebih memahami apa yang diperlukan,” tambah Cik Halimah.

Bagaimanapun, berkat usaha pasangan suami isteri ini membuat penyesuaian kecil tetapi konsisten pada teknik asuhan, Syahira mula menampakkan perubahan menggalakkan.

Pada 15 November lalu, Syahira, malahan, merupakan antara enam penerima Anugerah Perkembangan Watak pada Majlis Anugerah Kanak-kanak dan Belia Titipan, anjuran tahunan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sebanyak 24 anugerah diberikan dalam majlis edisi ke-12 kepada kanak-kanak dan belia titipan yang menunjukkan peningkatan atau kecemerlangan dalam bidang akademik, sukan, seni dan perkembangan watak.

Di rumah, keluarga itu menggunakan peranti pemasa untuk jadual belajar.

Setiap 10 minit belajar, pemasa itu akan berdering dan Syahira rehat seminit.

Mereka juga memasang trampolin, palang tarik dan juga tali senaman untuk memenuhi keperluan derianya di samping menjadikan muzik sebagai penenang Syahira.

“Rentak dan tempo muzik menenangkannya. Dia belajar lagu dari mendengar. Kini, dia pemain alat genderang pancaragam sekolah dan saya turut hantarnya ke kelas piano,” kata Cik Halimah.

Dengan ubat dan sokongan Keperluan Pendidikan Khas di sekolah, Syahira kini lebih mampu mengawal emosi.

“Dia sebenarnya petah. Sekarang dia boleh beritahu apa yang mengganggunya,” kata Cik Halimah.

Pada 2021, pasangan itu mengambil seorang lagi anak titipan, Uwais (bukan nama sebenar), bayi lelaki yang juga sangat aktif dan mudah hilang fokus.

Baru-baru ini, kanak-kanak lelaki yang kini berusia lima tahun turut dikesan menghidap ADHD.

Dia menjalani campur tangan tingkah laku dan terapi kerja serta mengambil suplemen malam untuk membantunya tidur.

“Dia boleh belajar di kelas, tapi cepat mengganggu kawan sebab mudah hilang perhatian. Dari segi kognitif, dia bagus, cuma perlu bantuan untuk kawal diri,” jelas Cik Halimah.

Menyokong dua anak dengan ADHD memerlukan banyak perancangan termasuk janji temu rawatan, mesyuarat sekolah, dan rutin harian yang disesuaikan.

Encik Najib, seorang teknisyen yang bekerja syif 12 jam, akur menjaga kesejahteraan diri sukar di tengah jadual yang padat.

“Penjagaan diri penting, tapi susah nak curi masa. Setiap hari ada saja cabarannya,” katanya.

Syahira kini memaparkan ketabahan, sifat penyayang dan caranya menjaga adik titipan serta rakan-rakannya cukup menggalakkan.

“Saya sayang ibu bapa saya. Mereka yang terbaik,” katanya sambil tersenyum malu.

Subjek kegemarannya ialah Matematik. Dia teruja bercerita tentang keseronokan bermain permainan papan bersama keluarganya. “Mummy selalu menang… tapi saya selalu menang bila main dengan pekerja sosial saya!” tambahnya.

Bagi Cik Halimah dan Encik Najib, perjalanan ini menuntut banyak pengorbanan tetapi membawa ganjaran yang disyukuri.

Cik Halimah menambah: “Walaupun mereka tidak dilahirkan dari rahim saya, mereka lahir dari hati saya.”

Encik Najib pula berkata: “Peranan saya adalah menyokong penjaga utama. Kalau dia tumbang, semuanya tumbang.”

Harapan mereka adalah agar lebih ramai orang memahami ADHD.

“Mereka bukan nakal. Mereka hanya melihat dunia dengan lensa berbeza, dan tugas kami adalah membela mereka,” tambah Cik Halimah.

Tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-undang) Encik Eric Chua, menyeru lebih ramai keluarga tampil menjadi keluarga titipan.

“Kami berharap lebih banyak keluarga akan tampil untuk menyertai kumpulan ibu bapa titipan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatan sokongan kepada ibu bapa angkat termasuk kenaikan elaun bagi yang menjaga remaja, sokongan kerja kes yang lebih kukuh bagi belia lebih dewasa, serta peluasan kriteria kelayakan pengasuhan sejak Julai tahun lalu (2024).

“Kami akan terus memperkukuh sokongan dan menggalakkan lebih banyak keluarga menyertai perjalanan yang amat bermakna ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg