“Seolah-olah mereka ternampak hantu.”
Itulah reaksi penumpang apabila melihat seorang belia berkeperluan khas dalam keadaan cemas di stesen MRT Dover.
Mengimbau kejadian pada 3 Januari, penolong pengurus stesen tersebut, Encik Muhammad Nur Husri Hussein, dimaklumkan melalui alat komunikasi ‘walkie-talkie’ pada 1.45 tengah hari bahawa butang kecemasan telah ditekan pada sebuah kereta api yang baru tiba.
Ketika beliau bersama rakan sekerjanya menaiki kereta api tersebut, mereka mendapati seorang belia, yang difahamkan berusia 20 tahun, dalam keadaan cemas sedang menjerit “ibu tak jawab panggilan” dan menghentak tangannya pada tempat duduk di sekelilingnya.
“Saya tertanya-tanya mengapa tiada siapa yang membantu atau cuba menenangkannya, malah ada penumpang yang kelihatan takut.
“Penumpang lain sama ada menjauhkan diri dari kabin atau memegang beg mereka, melindungi diri, dan memandang lelaki muda itu dengan penuh ketakutan,” kata Encik Husri, 40 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Namun, situasi itu perkara biasa bagi Encik Husri.
Sebagai bapa seorang anak yang mengalami Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) yang sering menunjukkan keresahannya melalui tindakan apabila rutin hariannya terganggu, Encik Husri faham perlunya mendekati belia itu dengan cara lembut.
“Sudah menjadi seperti satu naluri, apabila saya duduk di sebelahnya dan berdiam diri selama hampir 30 saat untuk memberinya masa menenangkan diri,” kata Encik Husri.
Beliau kemudian dengan tenang bertanya belia itu mengapa beliau menjerit, sambil mengusap bahunya untuk menenangkannya.
Belia itu menjawab dengan nada kuat bahawa tidak dapat menghubungi ibunya melalui telefon bimbitnya.
Encik Husri, kemudiannya, menghulurkan tangannya sebagai penumbuk atau ‘fist-bump’ untuk bersalaman dengan lelaki itu, sebagai isyarat untuk memujuknya bercakap dengan nada yang lebih sesuai.
Beliau terus menenangkan belia itu dengan menyuruhnya cuba menghubungi ibunya setiap kali kereta api berhenti di stesen, yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan keresahannya.
Beliau juga meyakinkan lelaki itu bahawa kakitangan stesen akan berada bersamanya sehingga ibunya menjawab panggilannya.
Namun, sebaik sahaja kereta api tiba di Stesen Redhill – perhentian keempat selepas Dover – lelaki itu mula menjerit lagi dengan kuat kerana masih tidak dapat menghubungi ibunya.
Encik Husri memimpinnya keluar dari kereta api, dan kakitangan stesen Redhill pula membawanya ke pusat perkhidmatan penumpang untuk duduk dan bertenang.
Insiden tersebut akhirnya selesai apabila ibu belia itu menjawab panggilan dan kemudian mengesahkan bahawa anaknya mampu pulang ke rumah dengan selamat.
“Belia itu begitu gembira. Wajahnya serta-merta ceria,” kata Encik Husri.
Beliau berharap orang ramai dapat menonjolkan belas kasihan dan ihsan kepada individu dengan keperluan khas, bukan takut kepada mereka.
Encik Husri mengimbau pengalamannya sendiri di MRT bersama anaknya yang mengalami ADHD.
“Pernah sekali, anak saya menjerit di kereta api, dan seorang wanita tua memarahi saya sambil bertanya sama ada saya tahu menjaga anak saya.
“Kemarahan mula membara, pada ketika itu, tetapi saya hanya meminta maaf kepadanya,” kongsi Encik Husri.
Mengulas kejadian di stesen Dover itu pula, Encik Husri berharap orang ramai boleh menawarkan bantuan daripada sekadar memerhatikan.
“(Belia itu) duduk seorang diri, dan saya berharap lebih ramai yang menawarkan bantuan... Tetapi mereka hanya memerhatikannya.
“Saya percaya kita semua mempunyai empati, tetapi yang kurang adalah kesedaran. Kita perlu lebih dididik dan sedar akan keperluan golongan istimewa.
“Kita perlu menjadi manusia yang lebih baik,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg