Kali pertama doktor bedah sambut Ramadan di perantauan, rindu pada keluarga
Kali pertama doktor bedah sambut Ramadan di perantauan, rindu pada keluarga
Dr Siti Mastura Rahim kongsi persiapan, rancangan sambut Ramadan seorang diri di Jepun
Dr Siti Mastura Rahim, 37 tahun, boleh dikatakan memaparkan ciri seorang wanita yang serba boleh.
Beliau bukan sahaja seorang pakar bedah ortopedik (bidang berkenaan tulang dan otot), malah seorang penembak negara yang baru-baru ini meraih pingat gangsa dalam Acara Individu Trap Wanita di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Di sebalik kecekapannya memegang senjata dan pisau bedah, Dr Mastura mengakui apabila keseorangan di rantauan dan merindui masakan tanah air, beliau juga pernah ‘gagal’ masak nasi sehingga menjadi bubur.
Walaupun biasa bercuti dan melancong ke pelbagai negara, ini merupakan kali pertama Dr Mastura berasa keseorangan.
Menjelang Ramadan, kesunyian hidup sendirian di perantauan semakin terasa buat beliau.
“Ramadan ialah waktu keluarga akan berusaha berkumpul dan makan malam bersama.
“Walaupun ada di antara kami yang sudah tinggal berasingan atau sibuk dengan kehidupan masing-masing, biasanya kami semua akan pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama.
“Ini merupakan kali pertama saya berjauhan dari rumah, jadi setiap kali mendengar azan berbuka, ia pasti akan membuat saya rasa rindu terhadap keluarga,” kata anak sulung tiga beradik itu.
Dr Mastura kini berada di Kobe, Jepun, selama enam bulan bagi menjalani Program Fellowship Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Kesihatan (HMDP) di bawah tajaan biasiswa Kementerian Kesihatan (MOH).
Beliau secara jujur mengakui merindui masakan ibunya, apatah lagi beliau sendiri tidak begitu mahir memasak hidangan Melayu.
Pernah suatu ketika, nasi yang dimasak menggunakan periuk biasa bertukar menjadi bubur.
Namun beliau kini lebih bersedia dengan bekalan pes segera bagi melepaskan kempunan terhadap cita rasa tanah air.
“Saya tidak pernah masak nasi dalam periuk biasa.
“Tambahan pula, nasi yang saya gunakan adalah nasi jenis susyi yang lebih berkanji, maka terjadilah bubur.
Tetapi saya tetap makan juga. Asalkan tidak sakit perut, ia bermakna saya sudah lulus memasak!” katanya berseloroh.
Hidup bersendirian di perantauan menuntut Dr Mastura mengisi masa lapangnya dengan membaca bahan penyelidikan serta mengikuti perkembangan isu semasa.
Bagi melepaskan rindu terhadap keluarga, beliau memastikan panggilan video dibuat pada setiap minggu.
Selain itu, beliau aktif melakukan kegiatan mendaki di sekitar kawasan pergunungan Jepun yang indah bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
Mengenang kembali rutin Ramadannya di Singapura, Dr Mastura berkongsi jika beliau sibuk bekerja dan di dalam bilik pembedahan, ibunya atau jururawat Muslim lain yang akan mengingatkannya tentang waktu berbuka.
“Dengan perbezaan zon waktu di sini dan masyarakat Muslim yang kecil, saya kini perlu bergantung sepenuhnya kepada tetapan jam penggera sendiri,” ujarnya.
Bagi meraih pengalaman Ramadan yang lebih bermakna, Dr Mastura berazam mendekati masyarakat di Masjid Kobe – masjid pertama yang dibina di kota tersebut.
Kawasan sekitar masjid itu juga menjadi tumpuan kerana terdapat banyak restoran dan pasar raya halal yang diusahakan oleh masyarakat dari Indonesia, India dan Nepal.
Pengalaman di perantauan ternyata memberi pengajaran bermakna buat beliau.
“Tahun ini (2026) saya lebih menghargai keluarga kerana sebelum ini saya sering mengambil mudah kehadiran mereka.
“Apabila berjauhan dan bersendirian begini, barulah saya menyedari betapa besarnya pengorbanan mereka serta betapa berharganya kehadiran mereka dalam kehidupan harian saya,” jelas Dr Mastura, yang juga pernah mencatat sejarah di sukan SEA dengan merangkul pingat pertama Singapura bagi acara menembak ‘trap’ pada 2022.
Walaupun sedih terpaksa berpuasa seorang diri, Dr Mastura teruja kerana keluarganya akan datang menziarah bagi menyambut Lebaran dan juga sempena hari jadinya pada Mac.
“
Ini merupakan kali pertama saya berjauhan dari rumah, jadi setiap kali mendengar azan berbuka, ia pasti akan membuat saya rasa rindu terhadap keluarga. ... Apabila berjauhan dan bersendirian begini, barulah saya menyedari betapa besarnya pengorbanan mereka serta betapa berharganya kehadiran mereka dalam kehidupan harian saya.
