Topik diikuti
Pergi ke BHkuKampus OBS baharu di Coney Island tawar lebih 70 kegiatan lasak
Terdapat cabaran berpasukan, kemudahan mesra pelajar kurang upaya bagi bina semangat kerjasama
Kampus OBS baharu di Coney Island tawar lebih 70 kegiatan lasak
Kampus baharu Outward Bound Singapore (OBS) di Coney Island dibuka secara rasmi pada 11 September, membolehkan semua pelajar Menengah 3 mengikuti kem pengembaraan luar menjelang 2030.
Terletak di timur pulau luar pesisir Punggol seluas 12 hektar, kampus terbesar OBS itu mempunyai lebih 70 kegiatan lasak di tempat tinggi dan 30 cabaran berkumpulan.
Kemudahan mesra kerusi roda turut membolehkan pelajar kurang upaya menyertai kegiatan bersama rakan mereka.
Kampus itu dirasmikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan diiringi Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan Encik David Neo serta Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan.
Encik Wong berkata program kepimpinan OBS akan ditawarkan kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti supaya menjadi “pengalaman penting bagi setiap anak muda Singapura”.
Menurutnya, pembentukan sahsiah semakin penting dalam dunia yang rumit dan tidak menentu.
“Kita tidak boleh melindungi golongan muda daripada setiap kegagalan atau kesukaran, tetapi mesti membekalkan mereka keupayaan, keyakinan dan ketabahan menghadapi cabaran. Itulah matlamat OBS,” kata Encik Wong.
OBS juga membantu peserta mengenali keupayaan diri apabila mencabar batas kemampuan diri serta menyedari apa yang dapat dicapai melalui kerjasama.
Kampus ketiga OBS itu turut membuka peluang ekspedisi yang menghubungkan Coney Island, Pulau Ubin dan East Coast.
OBS mengendalikan Cabaran Kementerian Pendidikan (MOE)-OBS, kem lima hari yang dilancarkan pada 2017 untuk membina kemahiran hidup, keyakinan dan daya tahan pelajar Menengah 3.
Program itu juga memberi peluang kepada pelajar dari sekolah berlainan untuk bergaul, dengan pelajar daripada tiga hingga empat sekolah dibahagikan kepada kumpulan 12 hingga 14 orang bagi setiap sesi.
Setakat ini, ruang terhad di Kampus OBS Pulau Ubin menyebabkan tidak semua pelajar dapat menyertai program itu. Pada 2025, seramai 18,000 pelajar menengah 3, atau hampir separuh daripada kohort, menyertainya.
Dengan kampus baharu di Coney Island, OBS dapat menampung seluruh kohort menjelang 2030, dengan sekitar 800 pelajar setiap kem dan sehingga 32 sesi setahun.
Kampus OBS Coney Island mengambil masa sedekad untuk dibangunkan.
Diumumkan pada 2016 dan dijadualkan siap pada 2020, projek bernilai $250 juta itu tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan usaha mengurangkan kesan pembinaan terhadap alam sekitar.
Pengarah Eksekutif OBS, Encik Nicholas Conceicao, berkata matlamat pihaknya adalah membolehkan pelajar berkongsi pengalaman, membina persahabatan, keyakinan dan kerja berpasukan.
Ketua Eksekutif Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Encik David Chua, berkata kem itu dapat membina hubungan antara belia daripada pelbagai latar belakang.
Pada 8 September, pelajar Sekolah Tinggi Catholic, Sekolah Menengah Peicai, Sekolah Menengah Woodlands dan Sekolah Menengah Jurongville dilihat tekun berbincang ketika mengikuti program tanpa telefon bimbit.
Kegiatan lasak di tempat tinggi di kampus OBS baharu itu melibatkan empat peserta serentak dan lebih menekankan kegiatan berpasukan berbanding di Pulau Ubin.
Laluan bertali tersedia di kawasan terbuka dan berbumbung, bersama cabaran seperti jongkang jongket berpasukan.
Kampus itu turut mempunyai dinding tebing setinggi 23 meter dan pusat operasi laut untuk berkayak, mendayung dan belayar.
Pelajar boleh meneroka kampus Pulau Ubin dan Coney Island dalam kursus lima hari, tidur dalam khemah ketika ekspedisi serta menggunakan beg tidur di pondok tanpa hawa dingin.
OBS melibatkan golongan kurang upaya dan pakar keselamatan industri untuk mereka bentuk kemudahan mesra semua.
Dalam satu kegiatan tahan lasak tempat tinggi, pelajar dan kerusi roda khas dipasang pada kabel menggunakan abah-abah sebelum merentasi panel condong dengan bantuan rakan.
OBS sebelum ini menyesuaikan program untuk golongan pekak dengan bantuan guru bahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat keselamatan semasa taklimat keselamatan.
Jurulatih OBS Encik Faizal Nordin, mengingati semula pengalaman empat pelajar pekak yang pada mulanya bimbang menjadi “beban”.
Beliau kemudian melihat rakan mereka mempelajari bahasa isyarat, sebelum pelajar pekak itu semakin bergiat dalam ekspedisi darat dan kegiatan memasak.
