Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak di Keat Hong terima program pengayaan percuma

Kelas sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan matematik (STEAM) untuk kanak-kanak 3-8 tahun semasa cuti sekolah
Feb 15, 2025 | 4:56 PM
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), membuat seni kraf bersama penduduk Keat Hong (dari kiri) Cik Irfanah Parveen Abdul Karim bersama anak-anaknya, Ahmad Shuaib Muhammad Ridzuan dan Ahmad Yusuf Muhammad Yusuf di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 15 Februari.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), membuat seni kraf bersama penduduk Keat Hong (dari kiri) Cik Irfanah Parveen Abdul Karim bersama anak-anaknya, Ahmad Shuaib Muhammad Ridzuan dan Ahmad Yusuf Muhammad Yusuf di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 15 Februari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Satu program percuma baru yang bertujuan mendedahkan kanak-kanak kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) telah dilancarkan secara rasmi di Keat Hong.

Program Keat Hong Stars itu ditujukan kepada kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun. Ia diadakan semasa musim cuti sekolah dan setiap kelas dihadkan kepada 50 murid.

Semasa ditemui Berita Harian (BH) di acara pelancaran di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 15 Februari, penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) Keat Hong, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata pihaknya mahu tekankan peri penting perkembangan kanak-kanak sejak usia muda, selain mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke kelas pengayaan serupa.

“Sebagai ibu bapa, kita tahu betapa mencabarnya memberi pendidikan bermutu kepada anak-anak kita, terutama dengan peningkatan kos.

“Banyak program pengayaan di luar sana mungkin di luar jangkauan bagi keluarga muda. Melalui inisiatif ini, kami mahu memastikan lebih ramai kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, mempunyai akses kepada peluang pendidikan STEAM,” kata Encik Zhulkarnain.

Menambah, Encik Zhulkarnain, seorang peguam dan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, program itu juga bertujuan membantu ibu bapa mengasuh minat dan bakat anak-anak masing-masing dengan lebih baik.

“Program ini membolehkan ibu bapa mengenal pasti bidang yang diminati anak-anak mereka — sama ada muzik, seni atau sains — supaya mereka dapat terus mengembangkan bakat mereka,” tambah Encik Zhulkarnain.

Program tersebut, yang dimulakan secara lebih kecil sejak 2023, dikendalikan Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Keat Hong. Keat Hong antara divisyen yang membentuk GRC Chua Chu Kang.

Ia merupakan sebahagian daripada teras ‘Memupuk Aspirasi’ Keat Hong, yang memberi tumpuan mempertingkat peluang pembelajaran awal kanak-kanak di kawasan tersebut.

Dengan peruntukan dana sebanyak $120,000, program ini kini melibatkan 14 prasekolah di Keat Hong, memastikan lebih ramai keluarga mendapat manfaat daripadanya.

“Kami berharap program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak malah kepada ibu bapa. Dengan sokongan masyarakat dan tajaan, kami mahu menawarkan lebih banyak bantuan kepada ibu bapa muda, selaras dengan perbincangan kami di Parlimen mengenai sokongan kepada keluarga,” kata Encik Zhulkarnain.

Pengerusi Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Keat Hong, Encik Vincent Tan berkata ia diadakan berdasarkan keperluan masyarakat.

“Kami mendengar ramai yang mengatakan kos sangat tinggi, dan di sinilah kami berperanan untuk mengurangkan beban kewangan serta memberi kanak-kanak akses kepada program berkualiti yang mereka layak perolehi,” kata Encik Tan.

Program pengayaan STEAM yang ditawarkan syarikat swasta biasanya mengenakan bayaran $400 hingga $500 dolar untuk tiga sesi 1.5 jam.

Namun, melalui program Keat Hong Stars, kelas yang serupa ditawarkan secara percuma kepada kanak-kanak yang layak.

Selain itu, beberapa program lain di bawah inisiatif ini termasuk kelas Lego Robotics dan kelas belajar bermain ukelele, yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Rakyat (PA)

“Matlamat kami adalah untuk memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada kanak-kanak dalam mendapatkan pendidikan bermutu,” katanya.

Antara peserta yang hadir ke acara pelancaran itu ialah Cik Irfanah Parveen Abdul Karim, 32 tahun, seorang ibu dua anak lelaki berusia lima dan tiga tahun.

Beliau berkata:

“Program ini memberi pendedahan anak-anak kepada pelbagai aktiviti dan membantu ibu bapa memahami minat mereka dengan lebih baik. Anak saya yang berumur lima tahun cenderung kepada bahasa — kemahiran fonik dan bahasa Inggerisnya agak kuat — manakala anak saya yang berumur tiga tahun masih terlalu kecil tetapi nampaknya sangat menikmati seni dan kraf.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg