Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP tiga penggal GRC West Coast Ang Wei Neng ingin terus berkhidmat untuk penduduk

Feb 15, 2025 | 3:49 PM
Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast, Encik Ang Wei Neng (barisan depan, tiga dari kanan) bergambar di hari pelancaran jambatan berbasikal di GRC West Coast. Bersama beliau ialah Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (empat dari kanan).
Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast, Encik Ang Wei Neng (barisan depan, tiga dari kanan) bergambar di hari pelancaran jambatan berbasikal di GRC West Coast. Bersama beliau ialah Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (empat dari kanan). - Foto ST

Anggota Parlimen (AP) tiga penggal, Encik Ang Wei Neng berkata beliau berharap dapat terus berkhidmat kepada penduduk di GRC West Coast dan menyelesaikan tugas yang telah dimulakan di sana.

Namun beliau akur, perkara itu bergantung pada keputusan di luar bidang kuasanya.

“Tentu sekali, bukan saya yang menentukan perkara ini, ia bergantung pada Perdana Menteri sama ada beliau akan menamakan saya sebagai calon untuk bertanding,” kata Encik Ang semasa bercakap dengan wartawan pada 15 Februari, di acara pembukaan jambatan berbasikal pertama di Jurong West, menurut akhbar The Straits Times.

Jambatan itu terletak di Nanyang, antara divisyen yang membentuk GRC West Coast.

Encik Ang, 58 tahun, telah mewakili Nanyang sejak 2020.

Dalam dua penggal pemerintahan antara 2011 dengan 2020, beliau mewakili divisyen Jurong Central di GRC Jurong.

Pada Pilihan Raya Umum (GE) 2020, pasukan PAP di West Coast memenangi GRC itu selepas meraih 51.68 peratus undi selepas persaingan sengit dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC lima anggota tersebut kini kurang satu AP apabila bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran meletak jawatan menyusuli siasatan rasuah.

Selain Encik Ang, AP lain yang berkhidmat di GRC itu pada masa ini ialah Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, Cik Foo Mee Har dan Cik Rachel Ong.

Dua wajah baru yang dilihat di GRC tersebut baru-baru ini termasuk Ketua Ehwal Korporat Sembcorp, Cik Valerie Lee dan usahawan, Cik Chua Wei-Shan.

Namun, kededua wanita itu tidak memenuhi syarat kaum minoriti di GRC tersebut.

Apabila ditanya mengenai wajah baru lain di kawasan tersebut, Encik Ang merujuk kepada peletakan jawatan dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada 14 Februari iaitu peguam, Encik Raj Joshua Thomas dan pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi.

Perbuatan itu menambah spekulasi kededua karyawan tersebut boleh dinamakan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam surat letak jawatannya, Dr Syed Harun berkata beliau berhasrat meneroka peluang untuk berkhidmat dalam politik.

Encik Thomas pula berkata beliau komited untuk berkhidmat kepada Singapura dan sedang menimbangkan cara untuk berbuat demikian.

Encik Ang berkata beliau tidak tahu sama ada kededua lelaki itu akan kelihatan di West Coast, tetapi beliau berkata GRC West Coast perlukan satu lagi calon minoriti, iaitu seorang dari kaum India atau yang lain.

“Jika tiada perubahan (kepada sempadan kawasan mengundi) dan GRC West Coast kekal seperti pada masa ini, calon yang diperlukan ialah calon dari kaum India, itu sahaja yang boleh saya katakan.

“Jika ada perubahan sempadan kerana adanya Tengah, dan Tengah amat besar... kita perlu menjalani penyesuaian untuk perubahan ini dan saya tidak tahu apa kesannya.

“Justeru, kita nantikan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC),” kata Encik Ang.

Sementara itu, Encik Ang berkata apabila beliau pertama kali muncul di Nanyang, 147 blok HDB layak menjalani Program Peningkatan Rumah (HIP) dan hanya 10 telah menjalaninya dengan lengkap.

Sejak itu, HIP telah dilengkapkan untuk lagi 20 blok, dengan 10 blok lagi sedang menjalani program tersebut. Lagi 50 blok dijadual untuk menjalani HIP pada masa depan.

“Saya harap diberi peluang menyaksikan kerja-kerja HIP dilengkapkan,” kata Encik Ang.

Encik Ang juga berkata peningkatan kejiranan juga telah dijalankan di kwasan itu, seperti pembinaan tempat pejalan kaki berbumbung, sembilan sudut bersenam, lapan taman permainan kanak-kanak, enam tempat turunkan penumpang dan tiga taman masyarakat.

Acara pembukaan jambatan berbasikal itu turut disertai oleh Encik Lee, iaitu menteri utama di GRC West Coast.

Jambatan itu menghubungkan penduduk Jurong West dengan ruang hijau, kemudahan riadah dan peluang pekerjaan dalam Distrik Inovasi Jurong (JID) JTC. Lebih 1,000 penduduk di kawasan itu telah berjalan kaki atau berbasikal untuk menyertai acara tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg