Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak Prasekolah 7oaks saji persembahan teater papar budaya, bahasa Melayu

Oct 13, 2024 | 4:41 PM
Kanak-kanak Prasekolah 7oaks berlakon, menari dan menyanyi dalam persembahan teater bertajuk ‘SAGA - Ayuh Ke Muzium’, yang sarat dengan unsur budaya dan bahasa Melayu. Persembahan itu diadakan buat julung-julung kalinya sempena sambutan ulang tahun ketujuh prasekolah 7oaks dalam Bulan Bahasa dan juga sebagai acara penutup tirai bulan tersebut di Music Box @ Politeiknik Ngee Ann pada 12 Oktober.
Kanak-kanak Prasekolah 7oaks berlakon, menari dan menyanyi dalam persembahan teater bertajuk ‘SAGA - Ayuh Ke Muzium’, yang sarat dengan unsur budaya dan bahasa Melayu. Persembahan itu diadakan buat julung-julung kalinya sempena sambutan ulang tahun ketujuh prasekolah 7oaks dalam Bulan Bahasa dan juga sebagai acara penutup tirai bulan tersebut di Music Box @ Politeiknik Ngee Ann pada 12 Oktober. - Foto PRASEKOLAH 7OAKS

Sekumpulan murid Prasekolah 7oaks menutup tirai Bulan Bahasa dengan penuh meriah melalui sajian persembahan teater yang sarat dengan unsur budaya dan bahasa Melayu pada 12 Oktober.

Bertajuk ‘SAGA - Ayuh Ke Muzium’, persembahan teater itu menyaksikan kanak-kanak mengenali unsur budaya Melayu yang menarik melalui lakonan, nyanyian dan tarian.

Persembahan teater itu diadakan buat julung-julung kalinya sempena sambutan ulang tahun ketujuh Prasekolah 7oaks dalam Bulan Bahasa dan juga sebagai acara penutup tirai bulan tersebut.

Terdapat sembilan pusat Prasekolah 7oaks yang dikendalikan Oaks Plus Limited (OPL), yang bermula sebagai sebuah pusat di bawah naungan PPIS.

Bertemakan ‘Melayu Dinamika’, sambutan Prasekolah 7oaks bagi 2024 tertumpu pada pengalaman kebudayaan dan linguistik yang mengetengahkan kekayaan bahasa dan budaya Melayu.

PPIS dan Prasekolah 7oaks dalam satu kenyataan bersama berkata persembahan itu bertujuan mempertingkat keupayaan penceritaan, memupuk kerja berpasukan dan membina keyakinan dalam diri kanak-kanak dalam persekitaran yang seronok dan selamat.

Persembahan itu diilhamkan oleh buku kanak-kanak berjudul ‘Ada Biji Saga Di Dalam Saku Kami’ tulisan Maria Mahat, yang mengajar pembaca tentang sejarah dan warisan Singapura serta budaya masyarakat Melayu di sini.

Persembahan itu diusahakan dengan kerjasama Teater Kami, sebuah syarikat teater terkemuka yang dikenali bagi sumbangannya kepada persada teater Melayu tempatan.

Sekitar 200 peserta, termasuk murid, ibu bapa dan guru prasekolah itu, hadir di acara tersebut yang diadakan di Music Box @ Politeknik Ngee Ann.

Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Mohd Fahmi Aliman, hadir sebagai tetamu terhormat.

Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, dan Pengerusi Oaks Plus Limited, Cik Hazlina Abdul Halim, bergambar dengan kanak-kanak Prasekolah 7oaks yang membintangi persembahan teater ‘SAGA - Ayuh Ke Muzium’.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, dan Pengerusi Oaks Plus Limited, Cik Hazlina Abdul Halim, bergambar dengan kanak-kanak Prasekolah 7oaks yang membintangi persembahan teater ‘SAGA - Ayuh Ke Muzium’. - Foto PRASEKOLAH 7OAKS

Encik Fahmi dalam ucapannya di acara itu berkata Prasekolah 7oaks membentuk generasi seterusnya dengan menyediakan peluang bagi pembangunan melalui pelbagai kegiatan yang direka khas.

“Dengan menggunakan teater, cerita yang kaya dengan nilai-nilai budaya, tradisi dan ungkapan harian yang menjadi hidup, ia menjadikannya lebih mudah bagi kanak-kanak ini berhubung dengan bahasa secara emosi.

“Ia satu cara kreatif untuk menjadikan bahasa Melayu relevan buat generasi seterusnya.

“Saya percaya usaha membina asas kukuh dalam bahasa dan budaya Melayu mesti dimulakan sejak kecil lagi,” kata beliau.

Pengerusi Oaks Plus Limited, Cik Hazlina Abdul Halim, pula berkata ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak prasekolah mengasah cinta mereka terhadap bahasa.

“Pendedahan awal bererti kanak-kanak lebih selesa dan lebih yakin dalam pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu.

“Kami berharap produksi teater oleh 7oaks ini menjadi inspirasi bagi kita semua mendakap teknik kreatif untuk mendalami penghargaan terhadap budaya dan bahasa Melayu,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg