Topik diikuti
Pergi ke BHkuKanak-kanak prasekolah bakal terima penerbitan bahasa ibunda SPH Media mulai 2027
Kanak-kanak prasekolah bakal terima penerbitan bahasa ibunda SPH Media mulai 2027
Semua kanak-kanak di peringkat Tadika 1 (K1) dan Tadika 2 (K2) akan menerima naskhah penerbitan bahasa ibunda masing-masing setiap bulan mulai 2027 bagi meningkatkan pembelajaran bahasa mereka.
Inisiatif yang diperluas itu diumumkan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, pada 27 Oktober sempena sambutan ulang tahun ke-15 Dana Dwibahasa Lee Kuan Yew.
Sekitar 72,000 kanak-kanak prasekolah akan menerima salah satu daripada tiga penerbitan SPH Media, iaitu ‘Thumbs Up Little Junior’ dalam bahasa Cina, Cilik Cerdik dalam bahasa Melayu, dan ‘Balar Murasu’ dalam bahasa Tamil.
Cilik Cerdik merupakan majalah khas Berita Harian (BH) bagi kanak-kanak prasekolah.
Buat masa ini, penerbitan itu diedarkan kepada sekitar 43,000 kanak-kanak di tadika Kementerian Pendidikan (MOE), prasekolah di bawah skim Pengendali Utama (AOP) dan agensi perkhidmatan sosial (SSA), yang berkongsi naskhah.
Sementara itu, dua aplikasi pembelajaran digital baharu bagi majalah kanak-kanak prasekolah, Cilik Cerdik dan ‘Balar Murasu’ juga akan diperkenalkan bagi membantu kanak-kanak dan keluarga mereka mempelajari serta menggunakan bahasa ibunda di rumah.
Aplikasi baharu itu akan menawarkan cerita, lagu dan permainan dalam bahasa ibunda, selain aplikasi Parent Centre yang menyediakan akses kepada penerbitan bercetak. Ibu bapa juga boleh menetapkan had masa penggunaan skrin.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata dana itu telah memperuntukkan hampir $35 juta bagi menyokong hampir 290 projek sejak penubuhannya, termasuk bengkel, persembahan, penerbitan dan sumber multimedia.
“Tahun-tahun awal kanak-kanak penting dalam pembelajaran bahasa, dan ibu bapa serta datuk nenek memainkan peranan besar menerusi penceritaan, lagu dan perbualan seharian, sama ada di dalam mahupun di luar rumah. Salah satu cara kami menyokong keluarga adalah melalui kerjasama dengan SPH Media dalam penerbitan bahan bacaan untuk kanak-kanak prasekolah,” kata beliau.
Bercakap kepada BH, Cik Insyirah Mohd Asri, 20 tahun, yang bertugas sebagai pengarah fotografi bagi filem pendek ‘Senandika’, berkata penggunaan bahasa Melayu membantunya menjalin hubungan lebih rapat dengan orang lain.
“Apabila saya bercakap dalam bahasa Melayu dengan mereka, hubungan itu terasa lebih rapat dan mendalam berbanding apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, yang seolah-olah ‘merenggangkan jarak’,” katanya.
Beliau menambah bahawa bahasa Melayu turut merapatkan hubungan dengan rakan yang tidak fasih berbahasa itu, terutama apabila mereka bertanya tentang maksud sesuatu perkataan.
Filem itu dihasilkan menerusi kerjasama dengan dana dwibahasa itu sebagai sebahagian daripada tugasan produksi pertama pelajar Politeknik Temasek. Para pelajar menghasilkan filem pendek yang meraikan dwibahasa berdasarkan hubungan peribadi mereka dengan bahasa.
Penulis Singapura dan setiausaha pertubuhan kebudayaan dan belia, Kemuning Arts Society, Cik Isiah Majid, pula berkata penerbitan dwibahasa boleh membantu ibu bapa muda mempelajari semula bahasa ibunda bersama anak-anak mereka.
Dengan sokongan Dana, beliau menghasilkan siri buku bergambar iaitu ‘Silat Warisan Budaya Saya – Kisah Dina dan Bahqer’, yang memperkenalkan kosa kata Melayu menerusi kisah dua murid silat yang mempelajari gerak langkah dan adat tradisional.
Siri itu menggabungkan pembelajaran bahasa dengan pergerakan dan nilai budaya bagi membantu kanak-kanak mendekati warisan mereka.
Encik Lee turut menekankan dana itu akan terus bekerjasama dengan MOE, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), majlis bahasa serta rakan masyarakat untuk memperkukuh sokongan terhadap dwibahasa.
“Usaha membesarkan seorang kanak-kanak bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan keluarga, sekolah dan seluruh masyarakat untuk bekerjasama,” katanya.
Dana tersebut diumumkan pada 2011, semasa pelancaran Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang bertajuk My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey.
Sejak itu, dana tersebut telah memperuntukkan hampir $35 juta untuk menyokong kira-kira 290 projek, merangkumi pelbagai bentuk seperti bengkel, persembahan, penerbitan, serta sumber multimedia.
Mulai 2024, dana ini memperluas skop jangkauannya kepada golongan belia pasca-sekolah menengah, dengan bekerjasama bersama institusi pengajian tinggi, pencipta kandungan, dan pertubuhan masyarakat bagi membina keyakinan mereka dalam menggunakan bahasa ibunda masing-masing.