Topik diikuti
Pergi ke BHkuKanak-kanak prasekolah belajar lari, sembunyi dan beritahu melalui panduan ‘Police Pal’
Kanak-kanak prasekolah belajar lari, sembunyi dan beritahu melalui panduan ‘Police Pal’
Kanak-kanak prasekolah belajar lari, sembunyi dan beritahu melalui panduan ‘Police Pal’
Buku cerita Police Pal SGSecure dilancarkan pada 5 Oktober untuk mendidik kanak-kanak prasekolah apa yang perlu dilakukan jika mereka ternampak orang asing atau barang yang mencurigakan.
Buku bertajuk Run, Hide And Tell: An SGSecure Story itu menggunakan watak haiwan untuk mengajar kanak-kanak kecil betapa pentingnya untuk sentiasa berwaspada, menjauhi bahaya dan mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai.
Buku itu dilancarkan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim Ann, semasa Karnival SGSecure di Tadika Kementerian Pendidikan (MOE) @ West Spring di Bukit Panjang.
Beliau membacakan buku cerita itu kepada satu kelas murid Tadika 2 (K2), dan menyertai lebih 200 kanak-kanak prasekolah, guru serta pegawai polis dalam aktiviti bertema kecemasan dan sesi mewarna.
Buku yang dihasilkan bersama oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pejabat Program SGSecure itu ialah siri terakhir dalam siri ‘Police Pal’ yang diperkenalkan pada 2024 untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.
“Melalui buku cerita Police Pal bertema SGSecure ini, kami berharap dapat menunjukkan kepada anak-anak kita cara bertindak apabila mereka nampak sesuatu atau seseorang yang mencurigakan.
“Walaupun masih kecil, anak-anak kita boleh mempelajari langkah seperti ‘Lari, Sembunyi, Beritahu’ untuk menjaga keselamatan diri dan mendapatkan bantuan apabila perlu.
“Kami berharap ibu bapa dapat mengukuhkan pelajaran ini di rumah, supaya kesiapsiagaan menjadi kebiasaan sejak kecil,” kata Cik Sim.
Ketua pusat tadika itu, Encik Rico Chan, berkata kanak-kanak prasekolah mudah memahami konsep orang asing yang membawa barang mencurigakan masuk ke sekolah dan mereka perlu lari menjauhinya.
“Saya rasa selalunya, ia tentang menguruskan mereka dan memberitahu mereka bahawa guru ada bersama mereka... (dan) penting juga untuk kekal teratur dan mendengar arahan,” ujar Encik Chan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini berkata bahawa keamanan dan keselamatan selama bertahun-tahun di sini mungkin menyebabkan rakyat Singapura “menurunkan kewaspadaan mereka”.
Dalam ucapan pada 23 September sempena ulang tahun ke-10 SGSecure, beliau juga berkata rasa selamat di Singapura tidak boleh dianggap remeh.
Beliau menyebut beberapa kes yang nyaris berlaku, apabila pihak berkuasa menggagalkan serangan seorang individu hanya beberapa minggu sebelum tarikh yang dirancang.
Individu yang menjadi radikal sendiri itu termasuk seorang remaja berumur 17 tahun yang ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 2024 ketika sedang merancang serangan di sebuah pusat kejiranan berhampiran Kelab Masyarakat Tampines West.
“Kami berjaya campur tangan tepat pada masanya sebelum sesiapa tercedera. Tetapi keadaan boleh jadi sangat berbeza.
“Bagaimana jika suatu hari nanti, walaupun kita sudah berusaha sebaik mungkin, sesuatu berjaya menembusi? Tiada sistem keselamatan yang dapat memberi jaminan 100 peratus,” kata Encik Wong.
Pada 10 September 2026, laporan penilaian ancaman tahunan ISD menunjukkan bahawa konflik berterusan di Timur Tengah menyumbang kepada ancaman keganasan yang tinggi terhadap Singapura.
Laporan itu menyatakan bahawa konflik tersebut menyumbang kepada permusuhan yang semakin meningkat antara masyarakat. Sementara antisemitisme melonjak di banyak bahagian dunia, begitu juga retorik anti-Muslim dan Islamofobia.
ISD berkata radikalisasi belia juga merupakan kebimbangan yang besar, dengan kes yang melibatkan golongan muda meningkat hampir empat kali ganda, daripada empat kes antara 2017 dan 2021 kepada 15 kes pada 2022.