Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal berlabuh dekat Terminal Feri Tanah Merah terbakar, tiada yang cedera

Jul 13, 2023 | 3:06 PM
TIADA KORBAN JIWA: Kapal yang berlabuh di Terminal Feri Tanah Merah terbakar pada sekitar 9.35 malam.
TIADA KORBAN JIWA: Kapal yang berlabuh di Terminal Feri Tanah Merah terbakar pada sekitar 9.35 malam. - Foto FACEBOOK SCDF

Sebuah kapal yang berlabuh di tenggara Singapura, berhampiran Terminal Feri Tanah Merah, terbakar pada malam Selasa.

Tiada kecederaan sejauh ini, menurut laporan The Straits Times pada Rabu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerusi Facebook berkata empat kapal penyelamat dan sekitar 40 bomba marin dari Balai Bomba Marin Brani dan West Coast dikerahkan ke tempat kejadian setelah dimaklumkan tentang kejadian itu pada sekitar 9.35 malam.

Menurut SCDF, setelah bomba marin tiba di lokasi kebakaran, mereka menaiki kapal tersebut dan menggunakan jet air untuk memadamkan api yang berada di dua dek menempatkan ruang inap.

Tiga lagi jet air digunakan untuk menyejukkan bahagian luar kapal. Dikenali sebagai proses ‘penyejukan sempadan’, ia dapat mengurangkan suhu struktur besi kapal tersebut.

“Selepas api berjaya dipadamkan, operasi redaman diteruskan hingga sekitar 5 pagi pada hari Rabu.

“Proses itu dapat menghalang penyalaan buat kali kedua. Ini dilakukan dengan penyemburan air pada permukaan terbakar yang basah secara serta-merta selepas api dipadamkan,” tambah SCDF.

Kesemua anak kapal yang terjejas itu dilaporkan selamat.

Dalam satu kenyataan, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata pihaknya telah dimaklumkan tentang asap yang dilihat di kawasan penginapan di atas kapal yang berlabuh di bahagian timur Singapura pada 11 Julai pada sekitar 10 malam. Bersama dengan empat kapal penyelamat SCDF, sebuah kapal rondaan MPA juga dihantar ke tempat kejadian.

Kapal yang terbakar itu merupakan kapal tangki berbendera Liberia.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata mereka memandang serius terhadap aspek keselamatan di pelabuhan Singapura.

Tindakan tegas boleh diambil terhadap kapal dan kakitangan jika didapati mereka tidak mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

MPA dan SCDF masih lagi menyiasat kebakaran tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg