SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kapal, bot langgar di Kepulauan Selatan: Lelaki ditangkap kerana kemudi dengan cuai

Kapal, bot langgar di Kepulauan Selatan: Lelaki ditangkap kerana kemudi dengan cuai

Mar 31, 2026 | 2:50 PM

Kapal, bot langgar di Kepulauan Selatan: Lelaki ditangkap kerana kemudi dengan cuai

Operasi menyelamat diadakan pada 30 Mac menyusuli perlanggaran antara bot riadah dengan kapal bekalan di Kepulauan Selatan Singapura pada 27 Mac.
Operasi menyelamat diadakan pada 30 Mac menyusuli perlanggaran antara bot riadah dengan kapal bekalan di Kepulauan Selatan Singapura pada 27 Mac. - Foto ST

Polis telah memberkas seorang lelaki berusia 49 tahun kerana telah mengemudi kapal secara cuai dalam kes pertembungan bot riadah dengan kapal bekalan pada 27 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH) pada 5 April, Pasukan Polis Singapura (SPF) juga mengesahkan mangsa yang hilang menyusuli perlanggaran antara bot riadah dengan kapal bekalan di perairan Kepulauan Selatan telah ditemui di Indonesia pada 30 Mac.

“Pada 30 Mac 2026 sekitar 3 petang, pihak polis dimaklumkan oleh pihak berkuasa Indonesia mengenai penemuan satu mayat yang terapung di perairan Karimun, Indonesia.

“Mayat itu, dipercayai mangsa hilang akibat pertembungan antara bot persiaran dengan sebuah kapal bekalan di Kepulauan Selatan pada 27 Mac, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan kemudian dikeluarkan dari perairan tersebut.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun telah ditangkap kerana mengemudi kapal secara cuai. Siasatan polis masih lagi dijalankan,” kata polis.

BH difahamkan lelaki yang ditangkap itu daripada kapal bekalan yang terlibat dalam perlanggaran tersebut.

BH melaporkan mangsa perlanggaran itu ialah Allahyarham Chua Muhammad Syafidi Irwan, 37 tahun, yang menaiki bot riadah itu bersama dua rakan lain apabila ia bertembung dengan sebuah kapal bekalan pada sekitar 4.15 pagi, 27 Mac lalu. Dua rakannya terselamat.

Allahyarham Syafidi, 37 tahun, merupakan Penyelia Kejuruteraan di Tower Transit Singapore (TTS), dijadualkan bakal menamatkan pengajian diploma sambilan tajaan syarikatnya di Politeknik Republik (RP) pada 5 Mei ini.

BH juga difahamkan arwah menerima lesen memandu bot riadah sejak November 2024 dan dibenarkan mengendalikan sebarang bot riadah untuk tujuan bukan komersial.

Sebelum ini, mayat seorang lelaki dilaporkan ditemui terapung di perairan Pulau Asam, wilayah Karimun, Indonesia, pada 30 Mac.

Lokasi itu terletak kira-kira dua jam dari Singapura melalui perjalanan feri.

Maklumat mengenai penemuan mayat itu mula diterima oleh Pusat Komunikasi Kansar Tanjung Pinang daripada seorang pegawai polis yang melaporkan kewujudan mayat terapung itu di kawasan perairan tersebut.

Ketua Kantor Pencarian dan Pertolongan Kelas A Tanjung Pinang, yang hanya dikenali sebagai Encik Fazzli, berkata berdasarkan penyelarasan awal, ciri-ciri mangsa dipercayai sepadan dengan insiden kemalangan laut yang melibatkan seorang kru kapal di perairan Singapura pada 27 Mac.

Pihak Indonesia difahamkan, mayat tersebut adalah antara tiga individu yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku di perairan Kepulauan Selatan pada 27 Mac.

“Sejak kejadian itu, pihak berkuasa Singapura menerusi Pusat Komand Operasi Polis (POCC) dan Polis Marin Singapura, telah menjalankan usaha pencarian, namun belum menemui hasil sebelum mangsa dipercayai dihanyutkan arus ke perairan Indonesia,” kata Encik Fazzli pada malam 30 Mac.

Beliau menambah sebaik menerima laporan daripada pihak polis, Pasukan SAR Gabungan segera bergerak ke lokasi di perairan Pulau Asam, di daerah Karimun, bagi menjalankan proses pemindahan mayat.

“Mayat itu berjaya dipindahkan dalam keadaan meninggal dunia dan kini dibawa ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Karimun bagi proses pengecaman lanjut,” tambah beliau.

Jenazah Allahyarham Chua Muhammad Syafidi Irwan kemudian dibawa ke Singapura dan selamat dikebumikan pada 5 April.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg