Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal kargo S’pura meletup dekat Kerala; 4 kru masih hilang

Jun 10, 2025 | 2:50 PM
kapal kargo, meletup, Singapura, India
Gambar menunjukkan kepulan asap hitam tebal naik dari kapal berdaftar Singapura. - Foto ST INDIAN COAST GUARD/X

Sebuah kapal kargo berdaftar Singapura yang dalam perjalanan ke Mumbai, India, dilanda beberapa siri letupan dan kebakaran pada 9 Jun, mengakibatkan lebih 40 kontena terjatuh ke dalam Lautan Arab dan memaksa beberapa kru terjun ke laut bagi menyelamatkan diri, menurut pihak berkuasa.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu yang berlaku sekitar 12.30 tengah hari (waktu Singapura), kira-kira 80 kilometer (km) ke barat daya Azhikkal, Kerala.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Jun, 6 petang, MPA mengesahkan bahawa tiada rakyat Singapura berada di atas kapal Wan Hai 503, yang dikendalikan oleh syarikat Wan Hai Lines (Singapura).

Bagaimanapun, dalam kemas kini pada 9.30 malam, MPA menyatakan bahawa empat daripada 22 kru kapal masih belum ditemui. 

Mereka terdiri daripada dua warga Taiwan, seorang warga Myanmar dan seorang lagi warga Indonesia.

Seramai 18 kru yang lain berjaya diselamatkan dan dipindahkan dari bot penyelamat ke kapal Tentera Laut India, yang menuju ke Pelabuhan New Mangalore.

Lima daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan perubatan di atas kapal.

Setakat 8.30 malam waktu Singapura, tiga kapal milik Pengawal Pantai India dan Tentera Laut India telah dikerahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamat, dibantu oleh beberapa pesawat.

Menurut MPA, pasukan mereka juga sedang dalam perjalanan memberi sokongan kepada pihak berkuasa India.

Gambar dan video yang dikongsi oleh Pengawal Pantai India menerusi wadah media sosial X menunjukkan kepulan asap hitam tebal keluar dari kapal tersebut, dengan beberapa kontena kelihatan berselerak dan rosak berhampiran lokasi kebakaran.

Pihak berkuasa masih belum mendedahkan jenis kargo yang dibawa atau punca sebenar letupan berlaku.

MPA dalam kenyataannya turut berkata pihaknya sedang berhubung rapat dengan syarikat pengurusan kapal tersebut untuk menyalurkan sokongan sewajarnya dan akan terus memantau situasi. Siasatan terhadap insiden tersebut juga akan dijalankan.

Pada Mei, sebuah lagi kapal kargo turut tenggelam di perairan Kerala, menyebabkan kira-kira 100 kontena tercampak ke dalam laut.

Menurut pengarah jeneral perkapalan India, tiada tumpahan minyak dilaporkan dalam insiden tersebut. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg