KUALA LUMPUR: Filipina terbuka untuk memeterai sebarang perjanjian tambahan dengan Beijing yang dapat membantu mengekalkan keamanan di Laut China Selatan, kata Menteri Luar, Encik Enrique Manalo, di tengah-tengah ketegangan berterusan antara kedua-dua negara berhubung kawasan yang dipertikaikan.
Laut China Selatan, laluan penting bagi perdagangan tahunan berasaskan perkapalan bernilai sekitar AS$3 trilion ($3.85 trilion), kekal sebagai punca ketegangan antara China dengan sekutu Amerika Syarikat, Filipina.
Hubungan antara kedua-dua negara yang kini berada pada tahap paling teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di tengah-tengah pertelingkahan yang kerap berlaku, telah menimbulkan kebimbangan di peringkat serantau akan kemungkinan tercetusnya konflik.
Filipina tidak puas hati dengan kehadiran berterusan pengawal pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara itu, lapor Reuters.
Kedua-dua negara menuntut kedaulatan ke atas beberapa kawasan yang dipertikaikan, termasuk beting pasir yang tidak berpenghuni, sebuah terumbu karang yang kaya dengan sumber ikan, serta terumbu karang yang menempatkan anggota tentera Filipina di atas sebuah kapal tentera laut yang tersadai.
“Saya tidak berkata perjanjian sedemikian pasti akan berlaku, tetapi apa-apa jua yang berada dalam ruang lingkup diplomasi, jalan damai atau kerjasama, sememangnya termasuk dalam pendekatan kami,” kata Encik Manalo kepada wartawan di luar Sidang Puncak Asean di Kuala Lumpur pada 25 Mei.
Sebelum ini, Filipina dan China telah mencapai “aturan sementara” pada 2024 bagi misi menyediakan bekalan buat kapal yang tersadai di Second Thomas Shoal, selepas beberapa kali berlaku ketegangan antara kapal-kapal pesaing.
China menuduh Filipina menceroboh perairannya tetapi menafikan dakwaan ia telah berkelakuan agresif.
Beijing menggesa dialog dengan Manila bagi menguruskan pertikaian tersebut.
China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan, yang merangkumi sebahagian EEZ Vietnam, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina.
Taruhannya tinggi sekiranya Beijing atau Manila tersilap langkah, memandangkan Amerika terikat dengan Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 untuk membantu Filipina sekiranya berlaku sebarang serangan bersenjata, termasuk di Laut China Selatan.
Encik Manalo berkata Filipina bertekad untuk mempercepatkan rundingan mengenai kod tata kelakuan antara Asean dengan Beijing mengenai Laut China Selatan.
Kesemua pihak bersetuju pada 2002 untuk merangka kod tersebut, namun ia mengambil masa 15 tahun sebelum proses rundingan dimulakan.
Setiausaha Agung Asean, Encik Kao Kim-hourn, berkata kepada Reuters semua pihak komited untuk memuktamadkan kod itu menjelang 2026, di mana Filipina akan mempengerusikan Asean pada tahun tersebut.
Dalam ucapan kepada pemimpin Asean pada 26 Mei, Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, menyeru agar penggubalan kod yang mempunyai kekuatan undang-undang itu dipercepatkan.
“Ia bertujuan menjaga hak maritim, mempromosikan kestabilan dan mengelakkan kesilapan langkah di laut,” kata Encik Marcos. – Agensi berita.
“
“Saya tidak berkata perjanjian sedemikian pasti akan berlaku, tetapi apa-apa jua yang berada dalam ruang lingkup diplomasi, jalan damai atau kerjasama, sememangnya termasuk dalam pendekatan kami.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg