Walaupun dekad berganti dekad, daya pemikiran dan kebenaran pahit yang digarap melalui penulisan, Dr Sa’eda Buang, kekal relevan kepada masyarakat hari ini, sama ada masyarakat Melayu mahupun bukan Melayu.

Namun, persoalan utama yang timbul kini: Bagaimanakah karya sastera yang cemerlang dan kaya dengan mesej sosial ini dapat terus disampaikan, dihayati, serta menjangkau generasi muda?

Isu itu menjadi antara sorotan utama dalam program wacana sastera, Bicara Karya: Bertinta Dalam Remang Fajar: Menyambuti Karya dan Gagasan Dr Sa’eda Buang, anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), yang berlangsung pada 20 Ogos, di Bangunan Perpustakaan Negara.

Sesi perbincangan berkenaan menampilkan tiga anggota panel pembicara berwibawa – Dr Kartini Anwar, Cik Annaliza Bakri dan Encik Wan Noor Khuzairey, yang mengupas serta mendalami pelbagai karya Dr Sa’eda.

Realiti Pahit dan Dilema Moral Masyarakat

Dalam sesi perkongsian, Dr Kartini, 65 tahun, Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), membacakan petikan daripada, Ranggas, sebuah karya terbitan 2016 dan turut mengupas karya, Ke Puncak Pun Tidak.

Karya Ke Puncak Pun Tidak, hasil karya Dr Sa’eda, diterbit pada 2013.

Cerpen itu menyorot perdebatan mengenai makna kebahagiaan dan kejayaan menerusi dua watak wanita lulusan universiti yang sama, namun mempunyai pandangan yang amat berbeza.

Seorang memilih kebahagiaan menerusi ikatan kekeluargaan, agama, dan perkahwinan, manakala seorang lagi melihat kejayaan menerusi kerjaya dan khidmat kemasyarakatan.

Selepas lebih sedekad, realiti dua perspektif wanita ini masih wujud dan menjadi polemik berterusan dalam kehidupan harian kita.

Cabaran Golongan Keperluan Khas dan Stigma Sosial

Sementara itu, Encik Wan Noor Khuzairey, 32 tahun, seorang pendidik di sebuah sekolah di Johor Bahru, mendalami karya Dr Sa’eda bertajuk, Razi, yang mengisahkan perjuangan seorang ibu membesarkan anak yang mempunyai autisme.

Penulisan itu membongkar kepayahan keluarga anak berkeperluan khas yang kerap terpinggir daripada struktur sokongan masyarakat dan pihak berkuasa.

Beliau turut menarik perhatian kepada kecenderungan sebilangan keluarga Melayu yang mencari ikhtiar alternatif seperti penggunaan air jampi, air zamzam, hingga berjumpa bomoh – kaedah yang akhirnya memberi kesan trauma kepada kanak-kanak tersebut.

Meskipun hari ini kesedaran semakin bertambah berikutan kemudahan maklumat dan media sosial, jurang pemahaman, tanggapan serong, dan sikap lapuk dalam masyarakat masih lagi wujud.

Cik Annaliza pula mengupas puisi, Malang Senda Citra dan Pustakaku Dalam Remang Senja.

Beliau menekankan bagaimana puisi, Malang Senda Citra, cemerlang mengkritik ‘penyakit’ masyarakat moden yang mudah terpengaruh, alpa, dan terlalu taasub dengan trend semasa.

Mengulas keunikan seni penulisan Dr Sa’eda, Cik Annaliza, 43 tahun, seorang guru Bahasa Melayu, berkata:

“Saya sangat mengagumi kebijaksanaan Dr Sa’eda dalam menyulam cerita rakyat, bukan sekadar sebagai pengulangan kisah, malah sebagai ruang penerimaan dan peringatan yang menghidupkan kembali ingatan kolektif masyarakat agar kita menjadi lebih celik dan cerdik.”

Menjangkau Generasi Pelapis

Dr Sa’eda yang sekarang berusia 69 tahun menaruh harapan besar agar generasi muda dapat meneruskan usaha memperkukuh dan memperkasakan masyarakat.

Menurut beliau, penulisan sastera bukan sekadar pengucapan seni peribadi, malah merupakan tanggungjawab kolektif yang amat penting buat kesejahteraan nusa dan bangsa.

Cabaran utama itu turut diperakui oleh hadirin, termasuk mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, yang mengutarakan persoalan sejauh manakah penyelesaian membina dapat dicapai agar generasi muda tidak kehilangan nilai murni bangsa, bahasa, dan agama dalam mendepani arus modenisasi.

Bagi menangani jurang tersebut, Cik Annaliza menyarankan pendekatan moden menerusi penglibatan aktif generasi muda itu sendiri.

“Mungkin boleh diwujudkan kolaborasi dengan pencipta kandungan, seniman muda atau pembaca daripada generasi mereka untuk menghasilkan pembacaan baharu dan mentafsirkan semula karya Dr Sa’eda.

“Yang lebih penting bagi saya ialah usaha mengaitkan teks dengan konteks.

“Mereka boleh menyulam pengalaman, keresahan dan cabaran yang mereka hadapi ke dalam pembacaan terhadap karya tersebut.

“Dengan cara ini, karya Dr Sa’eda akan terus hidup dan menyalurkan semangat bagi generasi akan datang,” ujar Cik Annaliza.

Berita gembira turut dikongsi apabila Dr Sa’eda mengesahkan perancangan penerbitan terbaharunya tidak lama lagi.

“Saya sedang berusaha mengumpulkan kembali karya saya, baik cerpen, puisi mahupun esei kritikan sastera yang telah saya bina dan simpan selama beberapa tahun yang lalu.

“Insya-Allah, saya berharap kumpulan cerpen dan puisi saya yang baharu akan dapat dipersembahkan kepada pembaca dalam masa beberapa bulan lagi,” kongsi Dr Sa’eda.

Langkah menyemarakkan wacana seperti Bicara Karya ini amat penting agar karya bermutu Dr Sa’eda terus segar, relevan, dan membakar semangat generasi pelapis masyarakat Melayu Singapura.