Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan didikan awal kanak-kanak diiktiraf Dewan Kemasyhuran Wanita

June Rusdon yakin cabaran, kejayaan hidup mampu cetus inspirasi
Mar 9, 2025 | 5:40 PM
Jerih payah yang pernah dilalui Cik Jummaida Rusdon atau mesra dengan panggilan, Cik June Rusdon, sewaktu kecil menjadikannya lebih kuat semangat dan berdaya tahan dalam industri pendidikan awal kanak-kanak yang mencabar.
Jerih payah yang pernah dilalui Cik Jummaida Rusdon atau mesra dengan panggilan, Cik June Rusdon, sewaktu kecil menjadikannya lebih kuat semangat dan berdaya tahan dalam industri pendidikan awal kanak-kanak yang mencabar. - Foto SCWO

Cik Jummaida Rusdon tidak mengetahui apa-apa tentang sektor pendidikan awal kanak-kanak apabila beliau menyertai industri tersebut pada 1989 secara tidak dirancang.

Selepas 10 tahun menjadi broker saham, Cik Jummaida, kini 64 tahun, yang lebih mesra dengan panggilan, Cik June Rusdon, mengorak langkah berani bertukar kerjaya sebagai pendidik awal kanak-kanak, di kala beliau bakal menimang cahaya mata sulungnya.

Ternyata, rezeki tidak salah alamat apabila Cik June bertahan selama 35 tahun dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak, memenangi pelbagai anugerah dan dihormati sebagai pelopor dan peneraju dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Singapura.

Dengan modal sebanyak $25,000, Cik June membuka tajakanya yang pertama di Bukit Batok pada 1990, dan dipanggil Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Small Wonder.

Beliau yang sudah bersara pada Ogos 2024, mengingati bagaimana operasi pusat jagaan kanak-kanak di kolong blok yang diusahakannya kemudian berkembang menjadi rangkaian serantau, terdiri daripada 142 pusat pendidikan yang dimanfaatkan lebih 15,000 kanak-kanak.

Dua maktab latihan guru turut diterajui, dengan perniagaannya terus berkembang.

Nikmat yang diraih kini adalah apabila Cik June menjadi sumber inspirasi wanita, dengan beliau disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura (SWHF) bagi 2025.

Penghargaan oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) yang menyambut ulang tahunnya yang ke-45 pada Mac menggambarkan perjuangan berdekad bagi kesaksamaan jantina dan usaha menyokong kaum Hawa dalam perjalanan hidup mereka.

SWHF yang diperkenalkan pada 2014, mengiktiraf sumbangan wanita ikonik kepada sejarah, masyarakat dan kemajuan Singapura.

Berbekal tema ‘Perubahan Kuasa Dalam 45 Tahun’, tindakan kolektif wanita dan kebingkasan mereka diraikan.

Satu acara gala akan diadakan pada 21 Mac di Hotel Ritz Carlton Millenia, dengan Puan Jane Ittogi, yang juga penaung SCWO, hadir sebagai tetamu kehormat.

Selain Cik June, lima lagi wanita turut disenaraikan dalam SWHF kali ini.

Mereka terdiri daripada kurator seni pengasas, Cik Constance Sheares; pemuzik cemerlang, Cik Vivien Goh; penulis dwibahasa dan naskhah pentas, Cik Kamaladevi Aravindan; klinisian, pendidik, penyelidik dan pemimpin jagaan kesihatan, Dr Ivy Ng; dan saintis serta jurutera, Cik Liu Bin.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik June, yang kini berkhidmat sebagai anggota lembaga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), berkata:

“Saya rasa amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada SCWO. Apabila perjalanan kerjaya saya diiktiraf, ia bukan sahaja bermakna untuk saya, malah cukup menyejukkan hati apabila apa yang saya usahakan membawa impak kepada orang lain.

“Saya selalu meyakini bahawa setiap cabaran yang kita atasi dan setiap kejayaan yang kita raih boleh mencetus inspirasi buat orang lain.

“Jika kisah saya boleh memperkasa hanya seorang wanita untuk memburu impiannya, mengatasi segala rintangan dan mempercayai dirinya, itulah ganjaran terbesar buat saya.”

Pada 2007, Cik June menjual syarikat Learning Vision Group kepada syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Knowledge Universe, dan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Tenggara), Learning Vision Group.

Pada 2014, syarikat Busy Bees, yang berpangkalan di Britain, membeli pula cabang niaga Asia syarikat Knowledge Universe.

Cik June menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) operasi Asia, Busy Bees.

Di Busy Bees, beliau melancarkan skim Knowledge Access, bagi membantu kanak-kanak memerlukan, termasuk golongan istimewa, untuk memasuki tajaka bermutu tinggi.

Cik June akan selalu mengenang kehidupan susahnya semasa kecil.

Bapanya ‘peon’ atau penolong pejabat yang kemudian mengendalikan kedai nasi padang.

Ibunya pula suri rumah yang menjual epok-epok dan kuih-muih Melayu lain serta menyediakan khidmat mengurut selepas bersalin.

Kededua ibu bapanya meninggal dunia ketika usianya remaja, manakala kakaknya menjadi penjaga keluarga selepas itu.

“Zaman kanak-kanak saya penuh dengan keperitan dan kehilangan (pemergian ibu bapa sewaktu beliau remaja) tetapi ia juga mengajar saya kekuatan dan kebingkasan. Saya menyedari kehidupan ini tidak akan menjatuhkan kita jika kita memilih untuk terus membangkitkan semangat kita.

“Ibu bapa saya menerapkan dalam diri saya keyakinan tiada yang terlalu sukar dalam hidup, dengan huraian pasti ada,” kongsinya.

Ditanya mengenai pesannya kepada wanita lain dalam mengecapi kejayaan, Cik June berkata segalanya bermula dari keyakinan diri dan mengambil langkah pertama bagi menghasilkan impak yang sejati.

“Realitinya, bagi membawa perbezaan, bermula dengan tindakan. Kelilingi diri kita dengan orang yang akan memberi inspirasi kepada kita dan cabar diri kita untuk berfikir perkara lebih besar.

“Terus belajar dan jangan teragak-agak untuk mengisi ruang kosong yang anda masuki dengan semangat anda. Ingatlah bahawa jika anda memimpin dengan nyala rasa, kesannya akan diraskaan orang lain,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg