Juara Olimpik, Joseph Schooling bakal menjadi rakyat Singapura pertama yang dimasukkan ke dalam senarai Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa. Beliau menyertai barisan atlet terkenal termasuk juara Olimpik 23 kali Michael Phelps, legenda renang Mark Spitz, dan perenang China Fu Mingxia.
Dewan Kemasyhuran mengumumkan 11 individu yang akan dimasukkan pada 2025, termasuk empat perenang: Schooling, Anthony Ervin dan Ryan Lochte dari Amerika Syarikat, serta Federica Pellegrini dari Italy.
Antara penerima penghormatan dari sembilan negara termasuk individu dari empat negara baru: Kuwait, India, Tunisia dan Singapura.
Majlis Induksi Penerima Anugerah Ulang Tahun ke-60 akan diadakan di Singapura di Park Royal Collection, Marina Bay, pada 28 Julai bersempena Kejohanan Dunia Akuatik Dunia yang dianjurkan di sini dari 11 Julai hingga 3 Ogos, lapor The Straits Times.
Schooling, 29 tahun, mencatat sejarah pada Sukan Olimpik Rio 2016 apabila beliau menewaskan idolanya, Phelps, dengan mencatatkan masa rekod Olimpik ketika itu, 50.39 saat untuk meraih emas dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu, yang merupakan emas Olimpik pertama bagi Singapura.
Beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik di Anugerah Sukan Singapura sebanyak enam kali, serta meraih tiga pingat emas di Sukan Asia 2014 dan 2018, dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia, dan 29 pingat emas di Sukan SEA. Pakar kuak kupu-kupu ini bersara pada April 2024.
Berbesar hati dapat dimasukkan ke dalam senarai Dewan Kemasyhuran, Schooling berkata pada 11 Februari: “Pencapaian ini bukan hanya milik saya – ia milik jurulatih, rakan sepasukan, mentor, keluarga, dan semua yang telah mempercayai saya sepanjang perjalanan ini.”
“Sukan renang telah membentuk hidup saya dengan cara yang tidak pernah saya bayangkan, mengajar saya tentang disiplin, ketabahan, kekuatan serta ketekunan.
“Bagi setiap perenang muda di luar sana – kejarlah impian anda, hadapilah cabaran, dan jangan pernah berhenti mempercayai diri sendiri.
“Terima kasih kepada Dewan Kemasyhuran Renang atas penghormatan yang luar biasa ini. Saya akan sentiasa bersyukur.”
Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa berpangkalan di Fort Lauderdale, Florida, ialah pertubuhan bukan untung dan muziumnya diiktiraf Akuatik Dunia sebagai “wadah rasmi bagi sejarah akuatik”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg