Selepas tamat pengajian Diploma Perakaunan dari Politeknik Ngee Ann, Cik Shafira Nurmuzaliffah Mohd Mydin-Watt, mengambil keputusan menyertai bank DBS sebagai pegawai khidmat pelanggan (CSO).

Tujuan asalnya hanya untuk berehat selama setahun sebelum memikirkan secara serius tekad meneruskan pengajian dan mengorak kerjaya tetapnya.

Pada usia 19 tahun, beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja syif serta melayan pelbagai ragam pelanggan setiap hari.

Tanpa diduga, pengalaman itu bukan sahaja mencabar, malah membentuk keyakinan dan daya tahan dirinya, sekali gus membuka laluan kepada perubahan besar dalam kerjayanya selama tujuh tahun.

Kini, pada usia 26 tahun, Cik Shafira berjaya meningkatkan kemahiran dan beralih bagi menggalas peranan berasaskan teknologi sebagai Pakar Penyelesaian Generatif Kecerdasan Buatan (AI), satu bidang baharu yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

Seperti ramai yang lain, beliau pada awalnya berasa ragu-ragu terhadap kemunculan AI, apatah lagi tanpa latar belakang dalam bidang tersebut.

Namun, dengan kesungguhan mempelajari kemahiran baharu dan mengatasi cabaran yang dihadapi, beliau kini yakin menyumbang kepada pembangunan pelbagai kemudahan Gen AI yang memberi manfaat kepada sehingga lima juta pelanggan.

Ketika berkongsi pengalamannya kepada Berita Harian (BH), beliau berkata:

“Pada awalnya, perkembangan AI berlaku dengan pantas. Kita tidak pasti tentang kesannya dan tiada garis panduan yang jelas mengenai cara memanfaatkannnya.

“Ternyata, seperti ramai orang lain, saya bimbang tugas saya akan diambil alih sepenuhnya oleh AI.”

Ketika itu, pada 2023, beliau baru sahaja menyesuaikan diri dengan tugas baharu mengajar dan membimbing kakitangan yang baharu menyertai bank tersebut.

Usianya yang muda turut menggandakan kebimbangannya terhadap perkembangan AI.

“Namun di sebalik rasa bimbang, saya rasa usia muda itu memberi saya lebih keyakinan untuk meneroka bidang baharu, serta bertindak dengan pantas kepada perubahan industri,” tambahnya.

Lantas, Cik Shafira menyahut cabaran meningkatkan kemahirannya semula.

Beliau malahan bersyukur atas bimbingan rakan sekerjanya, serta usaha DBS untuk meningkatkan kemahiran pekerjanya dalam AI.

Cik Shafira merupakan antara lebih 11,000 kakitangan DBS yang meraih manfaat daripada usaha peningkatan kemahiran khusus mengikut peranan dan pembangunan keupayaan yang lebih mendalam.

Dalam Ucapan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengetengahkan usaha DBS dan Grab dalam memperkasakan pekerja dengan kemahiran AI pada skala yang besar.

DBS turut melengkapi sekitar 40,000 pekerjanya dengan pemahaman asas dan pendedahan kepada AI.

Salah satu elemen utama transformasi AI di DBS adalah meningkatkan kemahiran pekerja yang terjejas oleh AI.

DBS juga menyelaraskan proses antara pekerja dan AI, mempertingkat aliran kerja, melatih semula kakitangan bagi memikul peranan baharu dan diperkukuh, serta membina struktur pertubuhan yang lebih ringkas dan mampu menyesuaikan diri pada keadaan.

Cik Shafira menambah beliau bertekad mempelajari tentang AI Generatif menerusi kandungan sedia ada di dalam talian, serta bersifat terbuka mempelajari daripada kesilapan apabila menjalankan fungsi AI yang baharu.

Pada 2025, Cik Shafira juga memulakan pengajian sambilan, Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Perniagaan, di Universiti Greenwich (London), yang dilengkapi dengan beberapa modul mengenai AI.

Dengan lebih banyak pengetahuan mengenai AI, Cik Shafira semakin yakin menjalankan tugas untuk menguji dan menilai peralatan AI yang digunakan oleh pegawai khidmat pelanggan.

Antara pengalaman yang dikongsi beliau adalah cara memperkukuhkan fungsi bot khidmat AI, atau ‘Chatbot AI’ dalam mengenal pasti lebih banyak jenis pertanyaan pelanggan, sekali gus memberi respons yang lebih peribadi.

Usaha itu bermula sejak 2024, dan sentiasa dipertingkatkan oleh Cik Shafira dan rakan sekerjanya.

Namun, Cik Shafira terpaksa mengatasi pelbagai cabaran sebelum mencapai tahap keyakinan dan keselesaan itu.

“Saya perlu membiasakan diri dengan dunia AI yang berubah dengan begitu pantas. Hingga ke hari ini, saya tetap bersikap terbuka dan sering mempelajari daripada rakan-sekerja saya,” kongsinya

Setelah melalui transformasi kerjaya itu, Cik Shafira paling bersyukur beliau tidak berputus asa, walaupun mengambil keputusan untuk mula bekerja sebelum meneruskan pengajian ke universiti.

Beliau juga berharap kisahnya dapat mendorong lebih ramai pekerja muda, terutamanya golongan wanita, untuk berani mencuba dan bersifat terbuka kepada bidang teknologi dan AI.

“Saya sedar itu bukan perjalanan yang lazim bagi ramai pelajar muda.

“Namun, keputusan itu membenarkan saya menimba pengalaman pekerjaan yang berharga, serta memperkukuh kemahiran dan daya tahan lebih awal lagi.”

“Saya berharap lebih ramai pekerja muda boleh menganggap perkembangan AI bukan sebagai penghalang, tetapi peluang memacu kerjaya masing-masing.

“Akhirnya, AI adalah penyokong dan tetap memerlukan sentuhan manusia,” ujarnya.