Berikutan undang-undang yang tidak diperbarui, dua kasino di Singapura mengutip sekitar $4.4 juta lebih banyak daripada yang dibenarkan antara April dengan Mei 2024.
Seseorang warga Singapura atau penduduk tetap di sini perlu membayar levi masuk harian $100 atau levi masuk tahunan $2,000 untuk memasuki kasino sebelum 2019.
Levi itu masing-masing dinaikkan kepada $150 dan $3,000 pada 4 April 2019, selepas Perintah Kawalan Kasino (Levi Masuk Berbeza) 2019 berkuat kuasa pada 2019.
Namun, perintah itu hanya sah untuk tempoh lima tahun, sehingga 3 April 2024.
Oleh kerana Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) terlepas pandang tarikh luput itu, kasino mengutip levi masuk lebih tinggi daripada yang dibenarkan undang-undang antara 4 April dengan 7 Mei.
MHA mendedahkan perkara itu dalam kenyataan akhbar berhubung Rang Undang-Undang (Pindaan) Kawalan Kasino yang diperkenalkan di Parlimen pada 6 Ogos.
MHA berkata ia sentiasa berhasrat mengekalkan levi masuk lebih tinggi melebihi tempoh lima tahun, dan berkata levi itu bertindak sebagai cara perlindungan sosial untuk mencegah orang daripada berjudi secara spontan.
Namun, MHA berkata ia terlepas pandang tarikh luput Perintah 2019, menyebabkan levi masuk kasino berubah kepada kadar lebih rendah pada 4 April 2024.
MHA berkata: “Kami telah memperketat proses kami untuk mengelak insiden sedemikian.”
Ia memperkenalkan perintah baru pada 8 Mei untuk menaikkan semula levi masuk harian dan tahunan kepada kadar lebih tinggi pada masa depan.
Antara hasrat Rang Undang-Undang (Pindaan) Kawalan Kasino adalah untuk memeriksa levi lebih tinggi yang dikutip dalam tempoh sebulan selepas Perintah 2019 luput.
Akhbar The Straits Times, dalam laporannya, berkata ia telah bertanya kepada MHA mengenai apa yang akan berlaku pada levi berlebihan yang dikutip.
Menjawab pertanyaan media, MHA berkata bilangan warga Singapura dan penduduk tetap yang melawat kasino pada 2023 merangkumi sekitar 3 peratus penduduk di Singapura.
Secara keseluruhannya, kadar perjudian tidak terkawal atau perjudian yang mendatangkan masalah di Singapura adalah rendah dan stabil, iaitu sekitar 1 peratus, kata MHA.
“Buat masa ini, tiada rancangan untuk menaikkan levi masuk. Kami akan terus memantau keberkesanan perlindungan sosial kita dan membuat perubahan jika perlu,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg