E-mel mengenai pulangan cukai yang kelihatan dihantar Kastam Singapura adalah antara cara baru penipu menyamar sebagai pihak berkuasa.
Kastam Singapura memberi amaran mengenai penipuan tersebut dalam satu hantaran Facebook pada 31 Januari.
Menurut hantaran itu, e-mel penipuan itu menggesa penerima untuk “memilih kaedah pulangan cukai mereka”.
Antara kaedah itu termasuk menerusi pindahan bank atau kad kredit mereka.
Penerima juga dikehendaki melayari pautan yang diberikan untuk menuntut pulangan cukai mereka.
Kastam Singapura tidak akan menghantar sebarang pautan untuk transaksi melibatkan wang dan e-mel sebegitu bukan daripada mereka, kata agensi itu.
Hantaran Facebook itu menambah bahawa alamat e-mel rasmi Kastam Singapura mengandungi domain @customs.gov.sg.
Selain itu, ia menyatakan bahawa Kastam Singapura tidak akan menghantar sebarang komunikasi menerusi akaun e-mel peribadi seperti Gmail atau Yahoo.
Kastam Singapura menasihatkan orang ramai untuk meneliti alamat e-mel pengirim apabila mereka menerima mesej yang mencurigakan, walaupun nama pengirim itu tertera ‘Kastam’ atau variasi lain.
Kastam Singapura juga telah memberi amaran tentang satu lagi jenis penipuan dalam satu hantaran Facebook pada 20 Disember 2024.
Ia melibatkan dokumen dengan logo Kastam Singapura yang dipalsukan.
Dokumen itu meminta penerima untuk membayar sejumlah wang bagi pelepasan bungkusan yang didakwa ditahan.
Kastam Singapura turut berkata dalam hantarannya bahawa mereka boleh mengesahkan kesahihan sebarang komunikasi yang mendakwa daripada Kastam Singapura menerusi customs_feedback@customs.gov.sg.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penipuan.
Orang ramai boleh mengamalkan langkah seperti menambah ciri keselamatan, menyemak tanda-tanda penipuan, memberitahu orang lain tentang penipuan itu serta melaporkan sebarang penipuan kepada pihak berkuasa.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah tersebut atau meragukan dengan panggilan telefon atau mesej yang diterima, boleh membuat laporan dalam talian di www.police.gov.sg/i-witness atau hubungi 1800-255-0000.
Untuk maklumat lanjut tentang penipuan, layari www.scamshield.gov.sg atau hubungi talian bantuan ScamShield di 1799.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg