Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeandalan MRT bertambah baik pada Jul, cipta rekod 9 bulan tanpa gangguan besar
Kadar keandalan keseluruhan perkhidmatan MRT bagi laluan kereta api mencatat peningkatan pada Julai, tanpa sebarang gangguan melebihi 30 minit bagi tempoh rekod sembilan bulan berturut-turut sejak kejadian terakhir pada November 2025.
Secara purata, MRT mencatat 2.37 juta tren-km (kilometer) antara kelewatan yang melebihi lima minit bagi tempoh antara Ogos 2025 dengan Julai 2026, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam laporan keandalan rel terbaru pada 14 Ogos.
Ini bermakna metrik keandalan rangkaian MRT telah mengatasi sasaran dua juta tren-km bagi empat bulan berturut-turut.
Ia juga lebih tinggi berbanding sasaran keandalan rel Singapura sebanyak satu juta tren-km bagi keseluruhan rangkaian MRT berdasarkan ukuran purata kilometer antara kegagalan (MKBF).
MKBF ialah ukuran kejuruteraan yang digunakan secara meluas bagi menentukan keandalan rel, yang menunjukkan jarak perjalanan tren sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit.
Perangkaan LTA berdasarkan purata bergerak selama 12 bulan.
Kadar ketepatan masa kereta api secara keseluruhan merentas lima laluan mencatat penurunan sedikit kepada 99.29 peratus pada Julai, berbanding 99.32 peratus pada bulan sebelumnya, menurut laporan itu.
Ketepatan masa kereta api diukur berdasarkan peratusan perjalanan yang diselesaikan dalam tempoh dua minit daripada masa yang dijadualkan.
Angka keandalan rel bagi Laluan Circle (CCL) kendalian SMRT mencatat peningkatan daripada 2.4 juta tren-km kepada 2.45 juta tren-km pada Julai.
Sementara itu, Laluan Timur Laut (NEL) – yang dikendalikan oleh SBS Transit (SBST) – kekal sebagai laluan MRT paling andal, dengan purata 4.47 juta tren-km antara gangguan pada Julai, berbanding 4.46 juta tren-km pada Jun.
Keandalan bagi laluan lain kekal stabil.
Laluan Downtown (DTL) kekal pada purata 4.2 juta tren-km antara gangguan, manakala keandalan Laluan Timur-Barat (EWL) kekal tidak berubah pada 2.02 juta tren-km.
Laluan Utara-Selatan (NSL) kekal sebagai laluan MRT yang paling kurang andal, dengan catatan 1.65 juta tren-km antara gangguan pada Julai.
Kedua-dua NSL dan EWL merupakan laluan MRT tertua di Singapura.
LTA melaporkan bahawa sejak November 2025, tiada gangguan besar melebihi 30 minit direkodkan di laluan MRT.
Ini menjadikan tempoh sembilan bulan itu sebagai yang tempoh paling lama tanpa sebarang gangguan sejak data berkenaan mula direkodkan pada 2011.
LTA menambah bahawa prestasi yang dicatat sejak empat bulan lalu mencerminkan usaha berterusan pekerja pengangkutan serta pengendali perkhidmatan rel.
Ia turut menunjukkan bahawa saranan yang dikemukakan pasukan petugas yang ditubuhkan pada Februari lalu, berkesan dalam meningkatkan keandalan rel.
