Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeandalan MRT terus meningkat tiga bulan berturut-turut
Keandalan MRT terus meningkat tiga bulan berturut-turut
Pada Jun, tiada kelewatan besar melebihi 30 minit direkodkan di lima laluan MRT, rangkaian LRT
Keandalan MRT terus meningkat tiga bulan berturut-turut
Rangkaian MRT mencatatkan peningkatan keandalan bagi bulan ketiga berturut-turut pada Jun, di samping prestasi rangkaian LRT yang juga bertambah baik.
Secara purata, tren MRT mencatatkan jarak 2.5 juta tren-km (kilometer) antara insiden kelewatan yang melebihi lima minit, antara Julai 2025 dengan Jun 2026, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 17 Julai.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut angka tersebut melepasi dua juta tren-km sejak November 2024.
Ia juga lebih tinggi berbanding sasaran keandalan rel Singapura sebanyak satu juta tren-km berdasarkan ukuran purata kilometer antara kegagalan (MKBF).
MKBF ialah ukuran yang menunjukkan jarak perjalanan tren sebelum mengalami sesuatu kelewatan melebihi lima minit. Semakin tinggi nilainya, semakin tinggi keandalannya.
Perangkaan LTA berdasarkan purata bergerak selama 12 bulan.
Laluan Timur Laut (NEL), Downtown (DTL) dan Timur-Barat (EWL) mengekalkan tahap keandalan masing-masing.
Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Circle (CCL) pula mencatatkan peningkatan.
NSL meningkat kepada purata 1.98 juta tren-km antara kelewatan berbanding 1.65 juta tren-km pada Mei, namun kekal sebagai laluan MRT paling kurang andal.
CCL meningkat kepada 2.4 juta tren-km, manakala NEL kekal paling andal dengan purata 4.46 juta tren-km antara kelewatan pada Jun.
Pada Jun, tiada kelewatan besar melebihi 30 minit direkodkan di lima laluan MRT dan rangkaian LRT.
Menurut LTA, tiada kelewatan besar melebihi 30 minit berlaku di laluan MRT sejak November 2025, tempoh paling lama sejak rekod mula dipantau pada 2011.
LTA berkata prestasi tiga bulan kebelakangan ini menggambarkan usaha berterusan pekerja pengangkutan dan pengendali rel, serta kesan pelaksanaan saranan pasukan petugas yang ditubuhkan pada Februari.
Ketepatan masa tren merentasi kelima-lima laluan meningkat daripada 99.1 peratus kepada 99.32 peratus. Ini diukur sebagai peratusan perjalanan yang diselesaikan dalam tempoh dua minit daripada waktu yang dijadualkan.
Secara individu, hanya DTL mencatatkan penurunan daripada 99.92 peratus kepada 99.83 peratus, manakala laluan-laluan lain menunjukkan peningkatan dalam skor ketepatan masa masing-masing.
Peratusan perkhidmatan tren yang beroperasi mengikut jadual turut meningkat daripada 99.81 peratus kepada 99.82 peratus, dengan hanya DTL mencatatkan sedikit kemerosotan.
Keandalan Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang tidak termasuk dalam laporan keseluruhan, kekal mantap pada Jun dengan purata 355,000 tren-km antara kelewatan.
Menurut LTA, TEL dikecualikan kerana masih di peringkat awal operasi dengan jumlah penumpang dan kekerapan tren yang lebih rendah.
Laluan itu juga tidak mengalami kelewatan besar melebihi 30 minit pada Jun dan prestasinya dijangka bertambah baik selepas dibuka sepenuhnya pada 2026.
Peringkat terakhir TEL yang melibatkan stesen Bedok South dan Sungei Bedok akan dibuka pada lewat tahun ini (2026).
Keandalan rangkaian LRT turut meningkat kepada purata 533,000 gerabak-km antara kelewatan berbanding 497,000 gerabak-km pada Mei.
LRT Sengkang-Punggol mencatatkan 892,000 gerabak-km antara kelewatan, meningkat daripada 886,000 gerabak-km, manakala LRT Bukit Panjang meningkat daripada 263,000 gerabak-km kepada 293,000 gerabak-km antara kelewatan.
