Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran di tempat letak kereta naik dua kali ganda

Apr 8, 2025 | 6:53 PM
Bomba cuba memadamkan api ketika beberapa kereta terbakar di tempat letak kereta di Ang Mo Kio pada Januari lalu.
Bomba cuba memadamkan api ketika beberapa kereta terbakar di tempat letak kereta di Ang Mo Kio pada Januari lalu. - Foto PEMBACA SHIN MIN

Bilangan kebakaran di tempat letak kereta dalam bangunan dan bertingkat meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, namun tiada satu pun yang melibatkan kenderaan elektrik (EV).

Menjawab soalan yang ditanya Encik Melvin Yong (SMC Radin Mas) di Parlimen, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata pada 8 April bahawa jumlah kejadian kebakaran seperti itu “kekal rendah” saban tahun.

Sebanyak 14 kejadian sedemikian berlaku pada 2020, 12 pada 2021, 18 pada 2022, 27 pada 2023 dan 36 pada 2024, lapor The Straits Times.

Dr Faishal berkata kejadian tersebut berpunca daripada isu kenderaan seperti kepanasan melampau ruang enjin, kerosakan elektrik dalam infrastruktur tempat letak kereta serta pembuangan sebarangan bahan bakar.

Beliau berkata peningkatan dalam insiden kebakaran pada 2024 sebahagian besarnya didorong peningkatan dalam kebakaran kenderaan.

Encik Yong telah meminta pecahan tahunan bilangan kebakaran di tempat letak kereta dalam bangunan dan bertingkat dalam tempoh lima tahun lalu, punca kebakaran itu dan langkah-langkah mengawal kebakaran dengan cepat.

Pada Januari, kebakaran berlaku di tempat letak kereta bertingkat di Ang Mo Kio dan merosakkan beberapa kereta.

Mengenai langkah mengawal kebakaran, Dr Faishal berkata semua tempat letak kereta perlu direka bentuk dengan peruntukan keselamatan kebakaran.

Sebagai contoh, tempat letak kereta dalam bangunan dilengkapi dengan dinding dan pintu kalis api bagi mengelak api merebak ke bahagian lain bangunan.

Tempat letak kereta juga perlu mempunyai pengudaraan yang baik secara semula jadi atau dengan cara mekanikal untuk menghilangkan sebarang haba atau asap, tambahnya.

Pemercik air pula diperlukan bagi tempat letak kereta bawah tanah tertutup, tambahnya, dan semua langkah keselamatan kebakaran ini sentiasa diselenggara dan diperiksa.

Dalam soalan susulan, Encik Yong mengemukakan kebimbangan mengenai potensi risiko kebakaran berkaitan EV disebabkan peningkatan penggunaan EV di Singapura.

Beliau menambah bahawa kebakaran EV agak sukar dipadamkan, berbanding kebakaran yang disebabkan pembakaran kenderaan berenjin.

Encik Yong bertanya sama ada terdapat garis panduan di mana pengecas EV harus dipasang di tempat letak kereta untuk memudahkan operasi memadam kebakaran.

Dr Faishal berkata bahawa sudah terdapat garis panduan bagi pengecas EV. Pemasangan pengecas sedemikian mesti mematuhi jarak keselamatan dan mesti berada dalam jarak tertentu dari suis pemotongan kuasa.

Beliau menambah bahawa kebakaran EV akan mengambil masa lebih lama untuk dipadamkan, bahkan boleh memakan beberapa jam. Ini berbanding kebakaran kenderaan berenjin yang mengambil sekitar 10 hingga 15 minit untuk dipadamkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg