Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran di Tuas: MOM mungkin ambil tindakan ke atas pihak terlibat

Mangsa mati di tempat kerja selepas gas asetilena terkumpul di udara sehingga sebabkan letupan dan kebakaran pada 2022
Sep 2, 2024 | 7:55 PM
Kakitangan SCDF bertugas di tempat kebakaran pada 30 Disember 2022, yang disebabkan oleh gas asetilena yang terkumpul di udara.
Kakitangan SCDF bertugas di tempat kebakaran pada 30 Disember 2022, yang disebabkan oleh gas asetilena yang terkumpul di udara. - Foto fail

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang mempertimbang mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam satu kebakaran di tempat kerja di Tuas pada 30 Disember 2022, yang menyebabkan kematian seorang pekerja.

Ini sementara MOM menunggu penilaian undang-undangnya sendiri mengenai kes itu, menurut seorang pakar MOM pada 2 September.

Dalam kejadian itu, seorang warga India, Encik Manku Suri Appa Rao, ketika itu berusia 38 tahun, yang bekerja dengan Asia Technical Gas, mati di tempat kerja selepas gas asetilena terkumpul di udara sehingga menyebabkan letupan dan kebakaran.

Menurut siasatan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), akibat kemalangan itu, Encik Manku mengalami kelecuran teruk pada 95 peratus tubuhnya.

Semasa siasatan koroner pada 2 September, seorang pegawai SCDF, Mejar Fong Chun Hern, memberitahu mahkamah bahawa asetilena sangat mudah terbakar.

Jika terdapat hanya 2.3 peratus kepekatan gas itu di udara, ia cukup untuk menyebabkan kebakaran.

Mejar Fong berkata rakan sekerja Encik Manku terhidu bau gas asetilena di udara semasa Encik Manku memeriksa silinder gas itu.

“(Rakan sekerja tersebut) malah menyatakan beliau terpaksa menghidupkan dua kipas, menunjukkan pengaliran udara di kawasan itu mungkin kurang baik.

“Ini mungkin menyumbang kepada (gas) asetilena terkumpul di tempat mangsa (bekerja),” kata Mejar Fong.

Walaupun begitu, pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan MOM, Encik Leslie Lee, berkata tiada pertimbangan dibuat untuk memasang kipas ekzos yang direka dengan baik di kawasan kerja itu.

Yang ada hanyalah pengaliran udara daripada kipas.

Kawasan itu juga tidak mempunyai pengesan gas.

Menurut Encik Lee, MOM sedang mempertimbang mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kemalangan itu sementara menunggu penilaian undang-undang.

Beliau tidak menamakan pihak yang terlibat dalam kes nahas itu.

Kededua Mejar Fong dan Encik Lee telah dipanggil sebagai saksi dalam siasatan itu.

Asia Technical Gas menghasilkan gas perusahaan dan teknikal, termasuk asetilena terlarut dan oksigen termampat, menurut laman webnya.

Encik Lee berkata tugas Encik Manku termasuk memeriksa silinder gas tersebut dari segi tekanan gas dan sisa gas asetilena.

Beliau melakukan kerja itu dengan melonggarkan injap pada silinder gas.

Siasatan menunjukkan bahawa semasa letupan itu berlaku, sebanyak 19 silinder asetilena telah dilonggarkan, yang boleh mencetuskan kejadian itu.

Kededua pakar keselamatan pekerjaan MOM dan penyiasat kebakaran SCDF berkata pelepasan sisa gas asetilena besar kemungkinan menyebabkan kejadian letupan itu.

Menurut Encik Lee, siasatan juga menunjukkan syarikat itu tidak mempunyai pekerja khusus yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan kuasa elektrik sebelum kemalangan itu.

“(Rakan sekerja tersebut) malah menyatakan beliau terpaksa menghidupkan dua kipas, menunjukkan pengaliran udara di kawasan itu mungkin kurang baik. Ini mungkin menyumbang kepada (gas) asetilena terkumpul di tempat mangsa (bekerja).”
Mejar Fong Chun Hern, pegawai SCDF.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg