Tiada kecederaan dilaporkan apabila satu kebakaran – yang dipercayai berpunca daripada kerosakan elektrik – berlaku di sebuah unit kondominium di Balestier pada 12 Mac.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di 20, Jalan Raja Udang – kondo Global Ville setinggi 16 tingkat – sekitar 5.15 petang.
Kebakaran itu melibatkan kandungan dalam bilik utiliti di sebuah unit tingkat 15 dan halaman bersebelahan, dan api berjaya dipadamkan menggunakan jet air, lapor The Straits Times (ST).
SCDF menasihatkan penduduk supaya tidak melebihi kapasiti soket elektrik, serta mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.
Dalam sebuah video insiden yang dilihat oleh ST, asap hitam jelas kelihatan dari jauh dan ia keluar dari bahagian atas kondominium.
Pada 2024, SCDF menerima 1,990 panggilan berkaitan kebakaran, dengan 968 daripadanya melibatkan kebakaran di premis kediaman. Angka ini hampir tidak berubah berbanding 2023, apabila 970 kebakaran kediaman dicatatkan.
Kebakaran disebabkan oleh masakan yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan berpunca daripada elektrik merupakan punca kebakaran rumah yang paling biasa, masing-masing menyumbang 35 peratus dan 31 peratus daripada laporan yang diterima oleh SCDF pada 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg