Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sedang menyiasat tiga kes kebakaran yang berlaku dalam empat hari di Woodlands.
Kebakaran itu berlaku di kolong Blok 155, Woodlands Street 13, dan berhampiran blok itu, kata SCDF.
Apabila wartawan akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, melawat ke kawasan tersebut pada 10 Mac, beberapa tong sampah kelihatan sudah cair dan tembok blok itu pula dilitupi jelaga (debu hitam). Bau sesuatu yang terbakar masih boleh dihidu di tempat kejadian
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata beliau berasa pelik kerana kebakaran itu berlaku satu demi satu.
Menurut beliau, timbul juga rasa kurang senang dalam kalangan jiran-jirannya.
“Saya sudah hampir 30 tahun tinggal di sini, dan ini kali pertama saya menghadapi keadaan sebegini,” kata lelaki itu.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), SCDF berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada kira-kira 6.30 pagi 7 Mac; pada 6.55 pagi pada 8 Mac; dan 9.40 pagi pada 10 Mac.
Kebakaran pertama melibatkan barang di atas bangku, yang dipadamkan dengan alat pemadam SCDF.
Dua lagi kebakaran itu melibatkan kandungan di tong kitar semula.
Tiada kecederaan dilaporkan, kata SCDF, sambil menambah bahawa orang ramai telah membantu memadamkan kebakaran pada 8 dan 10 Mac dengan baldi air.
Siasatan terhadap kebakaran itu sedang dijalankan, kata SCDF dan polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg