Peti sejuk dan mesin basuh kini menjadi ‘saksi’ pahit tragedi 7 November, apabila hanya dua peralatan rumah itu dapat diselamatkan dalam kebakaran di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Blok 128 Yishun Street 11.
Empat bulan menjelang Syawal, sebuah keluarga tujuh beranak kini berusaha membina semula rumah empat bilik mereka yang didiami sejak Mac 2022.
Kejadian yang berlaku sekitar 1.20 tengah hari menyaksikan unit di tingkat dua blok tersebut mengalami kerosakan teruk, dan mengakibatkan sekitar 50 penduduk dipindahkan.
“Seluruh rumah gelap dan hangus dijilat api,” kongsi Encik Mohammad Salman Salam, 44 tahun, pemilik flat itu ketika dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Meski sebahagian besar rumahnya musnah, beliau bersyukur keluarganya selamat.
Menurut Encik Salman, isterinya agak terkesan secara emosi pada malam pertama kejadian kerana menyaksikan kebakaran itu secara langsung, Namun, beliau kini dalam keadaan lebih stabil.
Isterinya, Cik Mala Amalia, 42 tahun, yang merupakan seorang suri rumah, berada di rumah bersama dua anaknya yang berusia lima dan 10 tahun ketika kebakaran berlaku.
“Salah seorang anak saya terlihat api keluar dari pintu biliknya dan memberitahu isteri saya.
“Apabila beliau membuka pintu bilik, api telah marak.
“Beliau kemudian menutup pintu itu dan berlari ke rumah jiran untuk meminta bantuan,” kongsi Encik Salman.
Kededua anaknya kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan menerima rawatan selama tiga jam sebelum dibenarkan pulang.
Pada waktu kejadian, Encik Salman, guru Pendidikan Islam di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, berada di tempat kerja.
Manakala tiga lagi anak lelakinya, berusia antara 11 dengan 19 tahun, berada di masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Bilik yang terjejas musnah sepenuhnya, manakala ruang tamu, bilik utama, dapur dan satu lagi bilik mengalami kerosakan 50 hingga 70 peratus,” ujar Encik Salman.
Meski sijil kelahiran anak tidak dapat diselamatkan, Encik Salman berjaya menyelamatkan pasport keluarga dan kad pengenalan (IC).
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 7 November, penemuan awal menunjukkan kebakaran kemungkinan besar berpunca daripada bahan terbakar di bilik tidur yang terjejas.
Kejadian tragis itu menarik perhatian ramai termasuk Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, yang mengunjungi blok berkenaan pada petang kejadian dan bertemu dengan penduduk blok itu bagi meninjau keadaan mereka.
AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, turut memuat naik video di media sosialnya selepas mengunjungi rumah sementara keluarga itu di Blok 162 Yishun Street 11 pada 8 November.
Kini, Encik Salman sekeluarga tinggal di rumah studio yang disediakan HDB, hanya lima minit dari kediaman asal.
Berkongsi bantuan lain yang diterima, Encik Salman berkata Majlis Bandaran Nee Soon turut membantu mengangkut barang dari rumah yang terjejas untuk dipindahkan serta mencari penderma dan penaja untuk peralatan tidur.
Ini termasuk empat tilam single, satu tilam bersaiz Queen dan tujuh bantal.
Kakitangan HDB juga melawat unit mereka dan memasang 15 tiang sokongan sementara di bilik terjejas.
Keluarga itu kini dalam proses menyelesaikan tuntutan insurans kebakaran.
“Saya amat menghargai bantuan jiran dan masyarakat.
“Walaupun kami tidak selalu berhubung, mereka tetap bertanya khabar apabila berjumpa,” kongsi Encik Salman.
Ditanya mengenai anggaran membaiki semula rumahnya, Encik Salman berkata ia akan menelan kos antara $50,000 dengan $60,000, terutama bagi membaiki bilik terjejas, menukar jubin dan kabinet dapur.
“Alhamdulillah, setakat ini saya menerima kira-kira $20,000 daripada sumbangan masyarakat.
“Saya amat bersyukur terutama kepada adik-beradik dan ibu yang membantu dan menyokong saya sekeluarga pada saat sukar ini,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg