Sebuah kebakaran yang melibatkan penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) berlaku di Yishun pada awal pagi 5 November, mengakibatkan sekitar 40 penduduk daripada blok terjejas dipindahkan, manakala empat lagi dibawa ke hospital.
Kebakaran itu berlaku kurang empat jam selepas kejadian serupa melibatkan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Ang Mo Kio Avenue 4 pada lewat 4 November.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan mengenai kebakaran di Blok 475B Yishun Street 44 pada sekitar 2.25 pagi dan berjaya memadamkan api sejurus tiba di lokasi.
Menurut penemuan awal SCDF, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sebuah PMD di ruang tamu sebuah unit di tingkat tiga.
Empat penghuni daripada unit berkenaan didapati terhidu asap dan dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), menurut SCDF.
SCDF turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan bateri bukan tulen bagi alat mobiliti aktif (AMD), termasuk PMD dan basikal guna kuasa (PAB), serta tidak mengecas bateri alat tersebut untuk tempoh lama atau semalaman.
Dalam separuh pertama 2025, terdapat 20 kebakaran melibatkan PMD, meningkat berbanding 10 kes dalam tempoh sama pada 2024, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu hantaran di Facebook pada 5 November, Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, memuji usaha penduduk yang saling membantu antara satu sama lain semasa proses pemindahan.
“Saya telah berjumpa dengan keluarga terlibat dan memberi jaminan bahawa para pemimpin akar umbi kita, bersama rakan-rakan daripada HDB serta Majlis Bandaran Nee Soon akan melakukan yang terbaik untuk menyokong mereka dalam tempoh sukar ini,” kata Dr Syed Harun.
“Beberapa minggu lepas, kami telah mengadakan Latihan Kesediaan Kecemasan di kejiranan ini.
“Kejadian ini menjadi peringatan penting dan tepat pada masanya untuk kita semua sentiasa berwaspada, mempelajari kemahiran tindak balas kecemasan apabila berpeluang dan terus menjaga antara satu sama lain.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg