Seorang mangsa kebakaran dibawa ke hospital setelah cedera dan terhidu asap dalam kejadian yang berlaku di pusat kitar semula di Kranji pada 19 Februari.
Pasukan bomba telah berusaha memadamkan kebakaran sejak 10.30 pagi dalam operasi yang mengambil masa yang lama, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam hantaran di Facebook pada 2 petang.
Enam jet air, tiga mesin pemadam kebakaran tanpa pemandu, serta satu tangga platform gabungan telah digunakan dalam usaha memadamkan kebakaran itu, lapor The Straits Times (ST).
SCDF melaporkan apabila mereka tiba, api telah marak dan melibatkan bahan buangan di dalam gudang yang berukuran 50 meter kali 50 meter itu.
Gudang tersebut terletak di 11 Kranji Crescent dan merupakan alamat berdaftar bagi syarikat pengurusan sampah dan kitar semula, Wah & Hua.
ST telah menghubungi syarikat tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pengguna aplikasi SGSecure serta pelanggan M1, StarHub dan Singtel di kawasan sekitar telah diberi amaran untuk mengelakkan kawasan tersebut.
Lalulintas dan jalan raya berdekatan semakin sesak kerana operasi memadam kebakaran yang masih dikendalikan ketika itu. SCDF meminta pemahaman orang ramai untuk mengelak jalan-jalan berdekatan dan menggunakan laluan alternatif.
Ini adalah kebakaran ketiga yang dilaporkan di alamat yang sama sejak 2018.
Pada Mac 2024, 25 orang telah dipindahkan berikutan kebakaran yang berlaku pada awal pagi dan melibatkan kawasan pemprosesan seluas kira-kira 400 meter persegi. Kawasan tersebut kecil sedikit daripada sebuah gelanggang bola keranjang.
Kebakaran tersebut mengambil masa tiga jam untuk dipadamkan, dengan empat jet air, dua jet buih serta sebuah mesin pemadam kebakaran tanpa pemandu telah digunakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg