Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran rumah kedai di Little India, tiada cedera

Feb 3, 2025 | 6:10 PM
Kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Little India pada 3 Februari. 
Kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Little India pada 3 Februari.  - Foto FACEBOOK/COMPLAINT SINGAPORE

Satu kebakaran berlaku di sebuah rumah kedai dua tingkat di Little India pada 3 Februari dan turut merosakkan kedai jiran serta sebuah kereta.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu catatan Facebook menyatakan bahagian dalam unit di 31 Norris Road itu dijilat api.

Ia kemudian merebak ke rumah kedai bersebelahan dan menyebabkan kerosakan haba dan asap, lapor The Straits Times (ST).

Anggota bomba dimaklumkan pada 11.15 pagi dan memadamkan api dalam masa sejam menggunakan tiga jet air.

Anggota bomba menutup sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah kedai dengan selimut lindung api, namun ia musnah akibat kebakaran itu.

Tangga pelantar gabungan digunakan untuk menilai dan memantau kejadian dari udara.

Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat, kata SCDF.

Dalam satu rakaman kebakaran itu yang disiarkan di laman Facebook Truly SG pada 3 Februari, kepulan asap tebal boleh dilihat dari tingkap kedai itu, yang kelihatan seperti rumah urut, dan dua unit berdekatan.

Kira-kira lima pegawai polis kelihatan di tempat kejadian, dengan ada memegang alat pemadam api.

Apabila ST tiba di tempat kejadian kira-kira 1 tengah hari, kepungan polis telah dipasang.

Pada 3 petang, kawasan itu masih dikepung.

Rumah kedai di Norris Road, tempat kejadian, dikepung pihak polis.
Rumah kedai di Norris Road, tempat kejadian, dikepung pihak polis. - Foto ST

Encik Ankush Sharma, yang bertugas di Restoran Khansama Tandoori berhampiran, memberitahu ST beliau melihat orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik.

“Terdapat ramai orang di kawasan itu dan semua orang mula melarikan diri. Ada yang sangat takut. Polis membantu mengarahkan mereka ke tempat yang selamat,” kata penyelia 36 tahun itu.

Encik Ankush menghubungi SCDF apabila melihat kebakaran itu, dan menyedari pegawai polis dari Pusat Polis Kejiranan Rochor berdekatan bergegas ke tempat kejadian dengan alat pemadam api tidak lama selepas itu. 

Beliau juga melihat jururawat dari pusat dialisis berhampiran memindahkan pesakit di kerusi roda.

ST telah menghubungi polis untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg