Seorang individu dibawa ke hospital dan sekitar 60 penduduk di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Punggol diarah meninggalkan flat masing-masing dek satu kebakaran pada awal pagi 26 Januari.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata dalam satu catatan Facebook bahawa anggota bomba dari balai bomba Punggol, Sengkang dan Tampines dikejarkan ke tempat kejadian – di Blok 224A Sumang Lane – sekitar 5 pagi.
Menurut The Straits Times, asap hitam dapat dilihat keluar dari sebuah flat di tingkat tujuh apabila SCDF tiba. Kebakaran membabitkan sebuah bilik tidur itu dapat dipadam dengan menggunakan pancutan air.
Empat orang sempat keluar dari flat itu sebelum SCDF tiba. Sebagai langkah berjaga-jaga, sekitar 60 penghuni unit lain di blok itu diarahkan meninggalkan flat mereka.
Seorang penghuni yang dinilai paramedik SCDF telah terhidu asap segera dihantar ke Hospital Besar Singapura.
SCDF berkata siasatan awal menunjukkan kebakaran itu mungkin berpunca daripada sumber elektrik di dalam bilik tidur.
Sejumlah 1,954 kebakaran dilaporkan berlaku pada 2023, bertambah 8.6 peratus daripada 1,799 kes pada 2022.
Daripada 1,954 kebakaran itu, 970 berlaku di bangunan kediaman – meningkat 3.7 peratus daripada 935 pada 2022.
Dua punca utama kebakaran ialah isu elektrik, dengan melibatkan 597 kes, dan memasak tanpa pengawasan, iaitu sebanyak 456 kes, menurut perangkaan SCDF.
Kecederaan akibat kebakaran berkurangan daripada 171 kepada 81 sementara kematian berkurangan daripada lapan kepada tiga dari 2022 hingga 2023.
SCDF menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada terlalu membebankan soket kuasa elektrik dan mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan untuk mengelakkan kebakaran berpunca daripada elektrik.
Orang ramai tidak harus meninggalkan bateri atau peranti dicas tanpa pengawasan bagi tempoh masa panjang atau semalaman.
Mereka juga harus memeriksa keadaan wayar dengan kerap, dan menggantikan atau membaiki wayar yang rosak dengan segera.
SCDF juga mengingatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan wayar di bawah permaidani atau tikar, dan menjauhkan wayar daripada permukaan panas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg