Bagi Cik Sheila Malinda Ali, 19 tahun, kecekalan tidak hanya terkait dengan daya tahan dan usaha yang tidak berbelah bagi.
Lebih daripada itu, kecekalan sebenar menurutnya adalah bagaimana seseorang bersikap baik kepada diri sendiri dan bersifat empati terhadap orang lain.
Beliau berkongsi bahawa di sebalik stereotaip dan pola pemikiran yang terkait dengan penghuni rumah sewa, ia tidak sedikitpun melunturkan semangatnya untuk memperbaiki diri sendiri dan secara tidak langsung, beliau belajar berdikari.
Pelajar tahun pertama Diploma Infokom dan Keselamatan di Politeknik Nanyang (NYP) itu menjelaskan beliau menetap di rumah sewa di daerah Yishun bersama ibunya selepas kededua orang tuanya berpisah tatkala usianya kecil.
“Satu konsep yang orang ramai mungkin terlupa adalah untuk meminta dan menghulurkan bantuan.
“Apabila anda meminta bantuan, ia menunjukkan bahawa anda ingin memperbaiki dan memperhalusi kelemahan atau sesebuah aspek kehidupan,” tambah anak sulung itu.
Berkat kecekalannya melayari onak dan duri kehidupan dan kecemerlangan pelajaran ketika menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central dalam jurusan Nitec Lanjutan Rangkaian dan Sistem IT, beliau merupakan satu-satunya penerima Anugerah Bestari Daya Bingkas.
Cik Sheila merupakan antara 45 penerima dalam Majlis Anugerah 4PM-ITE pada 29 November anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM) di ITE Kolej Barat.
Majlis itu menggabungkan Anugerah Bestari tahunan dengan program Frenz Mentoring – yang menyediakan pementoran dan sokongan sosioemosi kepada belia berisiko bagi pelajar ITE – buat kali pertama.
Menurut kenyataan 4PM, majlis anugerah gabungan itu meraikan dedikasi, ketahanan dan pencapaian pelajar sedemikian yang mencatatkan prestasi hebat.
Majlis tersebut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, selaku tetamu terhormat.
Semasa berucap, Encik Heng berkongsi pemerintah komited untuk terus mengembangkan sistem pendidikan Singapura, sejajar dengan inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura.
Beliau berkata: “Kami akan lakukan sedemikian dengan memberikan setiap pelajar permulaan yang kukuh, membina kemahiran melangkaui bidang akademik, memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat dan mempelbagaikan lebih banyak cabang bagi setiap individu merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.”
Beliau juga memberi penekanan bahawa pendidikan tidak terhad kepada akademik semata-mata kerana ia juga meliputi aspek seperti kepimpinan dan kegiatan luar darjah.
Encik Heng menjelaskan hal sedemikian penting kerana pembelajaran tidak hanya terletak kepada pengetahuan teknikal atau amali tetapi “jalinan hubungan dan bekerjasama dengan orang lain juga sama penting”.
Dalam pada itu, Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, mengumumkan bahawa satu biasiswa 4PM yang baru bernilai $5,000 akan diberikan kepada penerima anugerah unggul, Anugerah Bestari Gemilang.
Anugerah tersebut disandang Encik Mikaail Nor Nizar, 19 tahun, pelajar tahun pertama Diploma Teknologi dan Pembangunan Permainan di NYP.
Encik Nassar menjelaskan biasiswa tersebut bukan sekadar satu ganjaran, tetapi ia “pelaburan untuk masa depan yang cerah”.
Ini setelah beliau berkongsi bahawa penerima juga akan diberi peluang untuk program pertukaran kepimpinan di luar negara dan pementoran individu di bawah Program Inspirit Majlis Belia Kebangsaan NYC – inisiatif NYC untuk memberi peluang kepada para pemimpin muda memperjuangkan isu di peringkat nasional dan masyarakat.
Antara yang hadir di majlis itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif ITE, Cik Low Khah Gek dan penasihat 4PM yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg