Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kecemerlangan akademik sebagai balas jasa ibu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kecemerlangan akademik sebagai balas jasa ibu

Feb 23, 2024 | 08:14 PM



Sejak usia lima tahun, tatkala Muhammad Yaqqin Mohd Yasin kehilangan bapanya, ibunya memikul tanggungjawab lebih daripada hanya seorang pengasuh.

Ibunya, Cik Maimoon Abdul, 59 tahun, menjadi sumber inspirasi dan tonggak sokongan yang tidak berbelah bahagi anak bongsu itu.

Didorong oleh pengorbanan ibunya, Encik Muhammad Yaqqin mendedikasikan dirinya untuk berjuang dan cemerlang dalam pelajarannya, bertujuan membalas jasa baik ibunya.

Prestasi cemerlang beliau dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ menandakan satu peristiwa penting dalam kehidupan pelajar berusia 19 tahun itu.

Pada 23 Februari, pelajar Maktab Rendah Yishun Innova (YIJC) itu adalah antara 10,899 calon yang menerima keputusan GCE peringkat ‘A’ mereka.

Encik Muhammad Yaqqin, dalam aliran sains, mencapai markah yang mengagumkan, 86.25, mengukuhkan lagi komitmennya untuk membalas budi ibunya melalui kecemerlangan akademik.

Semasa bertemu dengan Berita Harian (BH), beliau berkongsi bahawa ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung dan menyebabkan ibunya menyara tiga anak sendirian.


“Bukan sahaja menjaga kami, ibu juga harus bekerja untuk menyara kami sekeluarga. Beberapa bulan pertama agak mencabar bagi kami. Bukan sahaja kami kehilangan pencari nafkah tunggal, malah kami juga kehilangan arah, kerana ayahlah yang memimpin kami,” jelasnya.

Menurut beliau, ibunya terpaksa mengambil peranan arwah ayahnya dalam mengendalikan hal rumah tangga, dan terpaksa menetap bersama ibu saudaranya pada suatu ketika dahulu.

Detik mengambil keputusan merupakan satu pengalaman sangat menggembirakan, penuh keseronokan berbaur dengan perasaan sukar percaya.

“Saya tidak menjangkakan bahawa saya mampu meraih hasil cemerlang. Saya akur bahawa peperiksaan ini tidak mudah dan saya menghadapi kesukaran menjawab beberapa soalan yang mencabar ketika peperiksaan, apatah lagi bagi seseorang yang beralih daripada politeknik ke JC.

“Peralihan ini mempunyai cabaran tersendiri, menjadikan pencapaian ini lebih bermakna bagi saya. Saya bangga dan bersyukur atas sejauh mana saya telah melangkah,” kata Encik Muhammad Yaqqin sambil meluahkan kelegaan dan rasa terharu.

Beliau akur akan cabaran di JC yang memerlukan pelajar memiliki pengetahuan menyeluruh dari semua peringkat akademik, dan mendengar pelbagai pengalaman mengenai pengajian di JC yang seringkali digambarkan sebagai pengalaman yang sukar, tidak cukup tidur dan keletihan sebelum bermula peperiksaan.

Sebelum ini, beliau menuntut di Politeknik Nanyang (NYP) dalam bidang Sains Farmaseutikal selama setahun dan kemudian beralih ke maktab rendah untuk pembelajaran yang lebih berstruktur.

Laluan JC menawarkannya lebih banyak masa untuk meneroka rancangan pendidikan masa depannya dan untuk mempertimbangkan matlamat kerjaya masa depan.

Beliau hadir seorang diri pada hari keputusan tanpa kehadiran ibunya, abangnya (33 tahun) yang bertugas di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan kakaknya (28 tahun) yang mengajar subjek Sejarah dan Kajian Sosial di Sekolah Menengah Admiralty.

Encik Muhammad Yaqqin meraih gred A untuk mata pelajaran Biologi (H2), Kimia (H2) dan Matematik (H2), gred B untuk Ekonomik (H1) dan gred C untuk Kertas Am (H1).

Beliau, yang ingin menceburi bidang perubatan, kini merancang melanjutkan pelajaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) atau Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

“Saya mahu membalas jasa ibu saya yang tidak berbelah bahagi dan menghulurkan bantuan saya kepada ahli keluarga lain yang telah menyokong saya. Saya berharap dapat terus menyumbang kepada YIJC kerana saya percaya dengan potensinya.

“Saya telah memerhatikan ketekunan dan kesungguhan ramai pelajar di YIJC, walaupun mereka menghadapi pelbagai cabaran. Saya yakin dengan adanya peluang sesuai, mereka akan cemerlang. Saya mahu pulang dan menyumbang secara positif kepada sekolah ini,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >