Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Pendidikan sebagai batu loncatan bagi pelajar MI untuk maju

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pendidikan sebagai batu loncatan bagi pelajar MI untuk maju

Feb 23, 2024 | 07:16 PM



Cik Nurul Shafiqah Razali percaya bahawa pendidikan merupakan jalan keluar daripada ‘hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ yang dilaluinya.

Pelajar Institut Millennia (MI) itu terdorong untuk berjaya dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A dan menggunakan keputusannya bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam bidang psikologi.

Cik Nurul Shafiqah, 20 tahun, berkongsi dengan Berita Harian (BH) setelah menerima keputusan GCE peringkat ‘A’ pada 23 Februari di Institut Millennia tentang kesukaran menelaah dan mengulang kaji pelajaran di rumah.

Menurutnya, beliau tinggal bersama ibu bapa dan dua adik perempuan berusia 18 tahun dalam flat dua bilik. Oleh kerana kesempitan ruang, perabot di rumahnya berhimpitan.

“Apabila anggota keluarga saya berjalan di dalam rumah, saya masih dapat melihat dan mendengar mereka walaupun saya pakai ‘headphones’,” terang Cik Nurul Shafiqah apabila ditanya mengapa beliau memilih menelaah di perpustakaan awam dan bukan di rumah.

Beliau menelaah di Perpustakaan Daerah Jurong selepas waktu sekolah setiap hari, dari 3 petang hingga ke malam, dan di Perpustakaan Awam Central di Bugis, dari 10 pagi hingga ke 7 malam pada hujung minggu.

Begitulah rutin hariannya pada 2023 semasa menyiapkan diri bagi peperiksaan nasional pada akhir tahun.

“Memandangkan kebanyakan masa saya diperuntukkan untuk belajar, adik-adik saya terpaksa membantu dari segi kewangan apabila keluarga kami kesempitan wang.

“Mereka dan ibu saya juga mengambil alih melakukan kerja rumah semasa saya mengulang kaji di luar,” katanya.

MI menawarkan pelajar tiga tahun menamatkan kurikulum peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’, berbanding dua tahun di maktab rendah.

Dengan setahun tambahan, pelajar MI ada tempoh lebih panjang yang membolehkan mereka menetapkan jadual belajar dan mengulang kaji mengikut kemampuan masing-masing.

Cik Nurul Shafiqah bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah dalam bidang seni juga.

Selain dilantik sebagai Rakan Bahasa pada 2021, beliau juga artis, kurator dan pengendali pameran seni MI ‘Transcendence’ pada 2022.

Bakat artistik beliau terserlah sebagai kurator dan pengendali apabila hasil kerja tangan beliau dalam seni seramik dipaparkan sewaktu pameran seni ‘Transcendence’. Beliau juga mengajar pelajar lain menghasilkan seramik.

Sebagai Rakan Bahasa, Cik Nurul Shafiqah dapat menghayati sastera Melayu dengan lebih mendalam dan diberikan tunjuk ajar mengarang puisi dan sajak.

“Sebagai Rakan Bahasa, banyak yang telah saya pelajari daripada mentor saya seperti cara mengupas sajak dan maksud frasa berbunga yang adakala sukar dimengerti.

“Ia membantu saya kerana saya mengambil subjek sastera (H2) buat pertama kali di MI,” kongsi beliau.

Beliau berharap agar dapat mendorong pelajar lain yang mungkin berhadapan dengan masalah kewangan atau kesusahan di rumah untuk tidak berserah dan mengaku kalah.

“Cubalah walaupun sukar, dan jika hasilnya tidak memuaskan, sekurang-kurangnya anda telah melakukan yang terbaik,” ujar Cik Nurul Shafiqah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >