Ada yang menggayakan rambut panjang persis penggerak budaya hipi pada era 1970-an.
Ada juga yang ingin tampil dengan gaya rambut tebal ‘berkepuk-kepuk’ atau dipanggil ‘pompadour’ yang klasik tetapi kemas disikat ke belakang, persis watak Tony Manero (lakonan John Travolta) dalam filem 1977, Saturday Night Fever.
Tidak kurang pula yang datang ke kedai gunting untuk dipotong rambutnya dengan gaya ‘fade’ sehingga kelihatan kulit kepala seperti pemain bola terkenal dari Argentina, Lionel Messi.
Yang pasti, gaya rambut lelaki berubah, namun kedai gunting, Bugs Bunny, yang terletak di Blok 94, Lorong 4 Toa Payoh, kekal bertahan dan beroperasi sejak 1971.
Encik Hamzah Khairuman, 70 tahun, merupakan antara empat tukang gunting veteran di kedai itu yang gemar menyahut cabaran memotong rambut pelanggan mengikut cita rasa dari zaman ke zaman.
“Kami selalu bersedia mengikuti gaya baru, kalau tidak kami akan ketinggalan.
“Saya anggap setiap permintaan bagi gaya rambut baru sebagai satu cabaran,” kata Encik Hamzah, yang bertugas di situ sejak 1973.
Hiasan vintaj, terutama lukisan watak Bugs Bunny pada pintu masuk kaca yang dilukis oleh Encik Hamzah sendiri, membawa suasana yang selesa dan klasik.
Kedai gunting rambut vintaj seperti itu antara perniagaan yang kian berkurangan dan hampir pupus, terutama dengan kemunculan kedai gunting ‘gentleman’ lebih mewah dan memberi perkhidmatan lebih bermutu.
Namun, Encik Hamzah, yang tidak khuatir terhadap trend itu berkata:
“Kami berikan layanan masing-masing, terserah kepada pelanggan layanan apa yang dimahukan.
“Yang mustahak, perkhidmatan kami haruslah bersifat amanah dan wajar dengan harga yang dikenakan.
Berita Harian (BH) bertemu dengan tukang gunting di Bugs Bunny pada 21 Julai bagi memahami usaha dan langkah yang diambil untuk kekal bertahan di Singapura.
Ia mempunyai dua dua cawangan di Toa Payoh dan Eunos.
Semasa kunjungan ke Toa Payoh, dapat dirasakan keakraban dan keselesaan antara tukang gunting dengan pelanggan di kedai itu.
Menurut Encik Hamzah, jalinan erat seperti itu yang menarik pelanggan untuk mendapatkan khidmat selama bertahun-tahun lamanya.
“Pelanggan dari jauh seperti Tampines, Pasir Ris dan Sembawang, masih datang ke sini dan bukan sekadar untuk gunting rambut.
“Ada yang datang lepak dan baca surat khabar. Ada juga yang bawa anak dan cucu mereka,” kongsi Encik Hamzah.
Seorang pelanggan setia, Encik Abdul Kadir, sudah berkenalan dengan Encik Hamzah lebih 20 tahun lamanya.
“Bandingkan dengan tempat lain, saya rasa paling puas hati bila gunting rambut di sini… Mereka peramah dan cekap gunting apa yang kami mahukan,” kongsi Encik Kadir.
Harga gunting rambut untuk orang dewasa ialah $10, manakala kanak-kanak bawah usia 12 tahun pula dikenakan bayaran $8.
“Ada pelanggan tanya mengapa kami tidak naikkan harga? (Bagi kami) Ini cara membantu masyarakat,” jelas Encik Hamzah.
Ternyata, sikap saling membantu dan menganggap setiap pelanggan sebagai rakan lama memperkukuh masyarakat pelanggan setia yang terus kembali ke kedai gunting itu.
Namun, kerana dimamah usia, Encik Hamzah terpaksa memperlahankan tugasannya.
“Usia saya hampir 70 tahun. Kadangkala terasa berat nak usahakan semua.
“Dulu, kita boleh kerja dari 8 pagi sampai 9 malam, malah sepanjang hari pada Ahad. Keadaan dah lain kini,” ujar Encik Hamzah.
Kedai gunting itu, malahan, dikecilkan ruangnya beberapa tahun lalu, kerana sebilangan tukang gunting sudah bersara.
Separuh kedai gunting disewakan kepada kedai urut kaki untuk menjana pendapatan tambahan.
Lantas, Encik Hamzah beralih harapan kepada tukang gunting muda untuk mengambil alih.
Pada 2024, mereka mendapatkan khidmat tukang gunting berusia 23 tahun dari Pulau Pinang, Encik Amir Ali Azhar.
Bagi Encik Hamzah, kehadiran Encik Amir telah menyegarkan imej dan semangat kedai guntingnya.
“Budak-budak lebih seronok bila lihat ada tukang gunting muda dan lebih yakin dengan mutu kedai kami,” jelas Encik Hamzah.
Namun, beliau mengakui cabaran menarik minat golongan muda tempatan untuk menceburi kerjaya menggunting rambut, terutama kerana gaji di kedai seperti Bugs Bunny hanya sederhana berbanding salun moden.
Meski begitu, Encik Hamzah kekal positif tukang gunting muda mampu mewarisi perniagaan itu dan meneruskan legasi Bugs Bunny.
Setakat ini, mereka berjaya menarik minat dua perantis remaja yang kini menjalani latihan di cawangan Bugs Bunny di Eunos.
“Kita mengalu-alukan budak-budak baru yang ingin belajar sebagai perantis untuk menggantikan kita.”
“Bila mereka sudah cukup mahir, barulah kita akan bawa mereka ke sini (Toa Payoh) untuk bekerja secara tetap,” jelas Encik Hamzah.
“Nama Bugs Bunny mestilah tetap dikekalkan, tetapi mereka (tukang gunting muda) akan mengukir cerita dan masa depan yang baru,” tambah Encik Hamzah.
“
Kami selalu bersedia mengikuti gaya baru, kalau tidak kami akan ketinggalan. Saya anggap setiap permintaan bagi gaya rambut baru sebagai satu cabaran. ... Nama Bugs Bunny mestilah tetap dikekalkan, tetapi mereka (tukang gunting muda) akan mengukir cerita dan masa depan yang baru.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg